MYStartup NXT pacu perkembangan startup di Sarawak

MYStartup NXT pacu perkembangan startup di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), menganjurkan siri jelajah MYStartup NXT di Sarawak, dalam usaha memacu perkembangan syarikat pemula (startup) tempatan.

MYStartup NXT Sarawak adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk mewujudkan lebih 5,000 startup berkualiti menjelang 2025.

Inisiatif ini akan menyediakan sokongan yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam ekosistem startup yang dinamik.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Athur Joseph Kurup percaya, MYStartsup akan terus memacu inovasi, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi serantau yang menyeluruh.

“Kami di MOSTI akan terus komited mendukung inisiatif melalui MYStartup yang membantu perkembangan keusahawanan dan kemajuan teknologi sambil kita bekerjasama untuk membangunkan sebuah ekosistem startup yang bersemangat dan mampan di Sarawak dan di Malaysia amnya,” katanya dalam kenyatan.

Siri persidangan mikro dua hari itu yang dianjurkan dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), akan menjadi platform yang menawarkan peluang kepada usahawan yang bercita-cita tinggi dan sedia ada untuk belajar.

Ia juga platform untuk mereka meluaskan jaringan dan mendedahkan diri mereka kepada pihak korporat, peneraju teknologi, pelabur, serta pemegang taruh berkaitan untuk memula dan mengembangkan perniagaan.

Naib Presiden Kanan Pembangunan Ekosistem Cradle, Ahmad Kashfi Alwi berkata, Sarawak sebuah negeri yang unik, yang memberikan cabaran yang berbeza kepada usahawan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Kata beliau, bersama rakan kongsi dan pemegang taruh, Cradle merangka persidangan itu secara khusus dengan mengambil kira landskap keusahawan di Sarawak.

“Harapan kami, ia dapat menzahirkan sebuah ekosistem yang lebih inklusif dan mampan untuk Malaysia. Kami teruja dengan sambutan dan penglibatan yang menggalakkan terhadap MYStartup NXT di Sarawak.

“Ia membuktikan potensi sebenar Sarawak sebagai landasan pelancaran yang belum diketahui umum di Asia Tenggara. Kami berazam mahu mengangkat Malaysia menjadi hab serantau untuk inovasi dan keusahawanan melalui siri persidangan mikro ini yang dianjurkan di serata Malaysia, yang menangani tiga teras utama penciptaan sebuah ekosistem yang kukuh, iaitu pengasas, pelabur dan pembangun,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN