MIFB 2023 jangka jana RM1.4 bilion transaksi jualan

MIFB 2023 jangka jana RM1.4 bilion transaksi jualan

CHAN Foong Hin melawat Gerai pameran makanan pada Majlis Perasmian Pameran Per­dagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2023 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Per­dagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2023, mengunjurkan tran­saksi jualan sebanyak AS$300 juta (RM1.4 bilion) se­panjang tiga hari pameran itu berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Stellar, Chua Wee Phong berkata, seramai 430 pempamer terdiri daripada le­bih 60 negara termasuk China, Kemboja, India, Thailand, Korea dan Turki turut menyertai pame­ran yang bermula semalam sehingga 14 Julai ini.

Menurut beliau, MIBF turut menyasarkan kehadiran lebih daripada 20,000 pengunjung pada edisi ke-22 pameran itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu.

“Secara tradisinya, MIBF sentiasa menarik minat ramai pemain industri makanan dan minuman (F&B) serta pengunjung yang terdiri daripada komuniti perniagaan.

“Ini merupakan peluang yang sangat besar bagi MIBF menjana transaksi jualan di­samping menjana lebih banyak aktiviti ekonomi buat negara melalui sektor F&B,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MIBF 2023 di sini, semalam.

Wee Phong berkata, edisi MIFB tahun ini dibina berdasarkan kejayaan pameran fizikal tahun lepas, yang merupakan pameran pertamanya sejak pandemik Covid-19 melanda pada 2020.

Jelas beliau, saiz pameran serta bilangan pempamer MIFB 2023 juga meningkat dua kali ganda berbanding edisi sebelum ini dengan menambah baik sesi perbincangan perniagaan melibatkan pertukaran pengetahuan dalam kelestarian dan keterjaminan makanan.

“Kami juga teruja untuk mengumumkan perkongsian strategik Constellar dengan Guangxi CAEXPO International Exhibition melalui Jelajah Ekspo China-ASEAN 2023 (Malaysia) dan Pameran Eksport Guangxi ke-20 yang ditempatkan bersama dengan MIFB tahun ini.

“Pameran ini juga menghimpunkan pemain utama dari ASEAN dan China ke dalam satu platform yang unik dan luar biasa di samping mewujudkan peluang lebih besar untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua wilayah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Chan Foong Hin yang hadir merasmikan pameran itu berkata, penganjuran MIFB membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi perdagangan bagi sektor F&B.

Katanya, ia juga mempamer serta menawarkan keunikan industri F&B negara kepada negara luar dan orang ramai selain memacu pertumbuhan, meningkatkan daya saing, dan memastikan keselamatan makanan negara.

“Saya yakin pameran perdagangan MIFB akan memupuk perkongsian baharu, mencetuskan idea inovatif, dan membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah dalam sektor pertanian dan makanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN