PETALING JAYA: Kementerian Ekonomi akan memberi penekanan kepada aspek kenaikan gaji pekerja yang adil kepada semua pihak, menurut menterinya Rafizi Ramli.
Rafizi dalam satu kenyataan berkata, sesi libat urus dengan pemegang taruh utama iaitu kerajaan, majikan, dan pekerja juga akan diadakan untuk mendapatkan pandangan semua pihak.
Beliau berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk merangka beberapa pilihan dasar untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan membincangkan strategi terbaik ke hadapan untuk meningkatkan gaji rakyat.
“Butiran dan mekanisme dasar akhir akan diputuskan berdasarkan pertimbangan menyeluruh, termasuk kemampuan dan kesan kos kepada sektor swasta, pelaksanaan secara berperingkat dan persetujuan bersama tiga pihak antara kerajaan, majikan, dan pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang mempertikaikan keterlibatan Rafizi berhubung rancangan kenaikan gaji progresif membabitkan sektor swasta dan awam.
Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan menyifatkan, tindakan Rafizi itu melangkaui bidang kuasa kementeriannya memandangkan isu berhubung dasar berkaitan gaji sepatutnya dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia.
“Menteri Ekonomi sebaliknya patut berkongsi rancangan meningkatkan ekonomi dengan perniagaan dan rakyat, sekali gus meningkatkan taraf hidup.
“Setakat ini, MEF belum melihat sebarang rancangan konkrit sedemikian daripada menteri untuk meningkatkan ekonomi,” katanya.
Menurut Rafizi, Kementerian Ekonomi bertanggung jawab menguruskan perancangan ekonomi negara secara menyeluruh termasuk dasar gaji negara.
Beliau berkata, ia kerana pendapatan yang tidak setara dengan kos sara hidup menjadi penghalang utama kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
“Kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah adalah salah satu punca yang mengakibatkan gaji yang tidak seimbang dengan nilai hasil pekerja di dalam ekonomi.
“Nisbah gaji pekerja (CE) Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2019 adalah 35.9 peratus, jauh lebih rendah daripada negara-negara maju lain seperti Jerman (59.4 peratus), United Kingdom (55.5 peratus), Australia (46.9 peratus) dan Republik Korea (46.8 peratus),” katanya.
Ujar beliau kadar gaji penengah benar dan gaji kemasukan baharu, telah merosot selepas pandemik dan kekal lebih rendah berbanding tahap sebelum pandemik.
Justeru itu, Rafizi berkata, mandat Kementerian Ekonomi adalah untuk menyelesaikan isu-isu struktur ekonomi yang boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara.
“Pertumbuhan gaji merupakan antara fokus utama reformasi struktur untuk mencapai sasaran CE negara, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya. – UTUSAN










