PETALING JAYA: RHB Investment Bank Research (RHB IB) mengekalkan penarafan “beli” ke atas kumpulan jualan langsung kesihatan dan kesejahteraan, DXN Holdings Bhd. pada 75 sen dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 93 sen.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan suku pertama tahun kewangan 2024 DXN memenuhi jangkaan dengan pertumbuhan kukuh, selain daya tarikan positif dalam pasaran utama lebih daripada mengimbangi kesan kadar cukai berkesan (ETR) yang lebih tinggi.
Ujarnya, penilaian semasa DXN adalah menarik, memandangkan prospek pertumbuhannya yang kukuh, disokong pengembangan pasaran baharu dan penebat daripada peningkatan kos.
“Margin keuntungan yang lebih tinggi dan pulangan atas ekuiti (ROE) adalah bukti kukuh kepada asas-asasnya dan model perniagaan yang direka dengan baik.
“Keuntungan bersih DXN sebanyak RM87 juta, iaitu peningkatan enam peratus tahun ke tahun menepati 26 peratus ramalan,” katanya dalam nota kajian.
DXN telah disenaraikan semula di pasaran utama Bursa Malaysia pada 19 Mei 2023.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mei 2023, keuntungan bersih DXN meningkat sedikit kepada RM77.60 juta daripada RM77.2 juta, disokong peningkatan 17 peratus dalam hasil kepada RM423.98 juta berbanding RM360.39 juta.
Syarikat itu mengisytiharkan dividen sebanyak 0.80 sen sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun menghadapi cabaran dalam pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan tekanan inflasi yang meningkat, DXN berada dalam kedudukan kukuh untuk menghasilkan pertumbuhan yang mampan.
“Ini akan disokong oleh pertumbuhan dalam pangkalan ahli pengedar, kerana kumpulan itu terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran utama sedia ada dan pada masa sama, memasuki pasaran baharu yang berpotensi tinggi.
“Selain itu, penyiapan fasa terbaharu pengembangan huluan memberi petanda baik kepada kumpulan untuk mengambil peluang terhadap permintaan yang semakin meningkat dan memperkenalkan lebih banyak produk inovatif untuk menarik jualan yang lebih tinggi.
“Selain itu, kami juga melihat DXN kurang terjejas oleh sebarang kenaikan kos, berikutan kemudahan pengeluaran bersepadu dalamannya yang menyumbang lebih daripada 90 peratus daripada hasil kumpulan dan menguasai margin keuntungan kasar yang lebih tinggi iaitu lebih daripada 80 peratus,” katanya.
Sementara itu, menurut nota kajian Maybank Investment Bank, jualan Amerika Latin kumpulan itu dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan teratas kumpulan kerana kehadirannya terus berkembang di rantau berkenaan.
“Margin kumpulan juga dijangka kekal konsisten disebabkan kecekapan rantaian nilainya.
“Justeru, kami mengekalkan saranan beli dengan TP tidak berubah sebanyak 90 sen dengan potensi jumlah pulangan pemegang saham sebanyak 25 peratus, termasuk hasil tahun kewangan 2024 yang lumayan sebanyak empat peratus,” ujarnya. – UTUSAN










