DALAM mendepani isu kos sara hidup, kerajaan memperkenalkan program di peringkat komuniti yang dikenali sebagai Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani). Program ini diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024.
Program ini bertujuan untuk menggalakkan komuniti menjana pendapatan secara dalam kelompok. Pendekatan penjanaan pendapatan dalam program ini dilihat sedikit berbeza dengan program penjanaan pendapatan yang pernah dijalankan.
Sebelum ini banyak program bantuan lebih tertumpu kepada penyaluran bantuan secara langsung, kini pendekatan yang diketengahkan lebih memberi fokus kepada usaha memperkasa komuniti supaya mampu berdikari melalui aktiviti ekonomi yang dirancang sendiri.
Dalam erti kata lain, kuasa autonomi diberikan kepada komuniti untuk mereka bebas mencadangkan projek berdasarkan kepada potensi ekonomi setempat. Ini membuka ruang kepada komuniti untuk bangkit dan berdikari melalui aktiviti keusahawanan yang dirancang sendiri.
Secara tidak langsung, komuniti bukan lagi menjadi penerima bantuan semata-mata tetapi mereka diberi kepercayaan untuk merancang, memilih dan melaksanakan projek ekonomi berdasarkan keperluan serta kekuatan sendiri.
Ini memberi ruang kepada komuniti untuk mengenal pasti potensi setempat yang dimiliki namun belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Program ini mengenal pasti lima sektor tumpuan utama yang dilihat relevan dan berpotensi memberi impak ekonomi yang cepat kepada komuniti iaitu sektor pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Hasil kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati, setiap sektor ini memperlihatkan penglibatan aktif penduduk setempat termasuk golongan wanita dan belia dalam menjayakan aktiviti ekonomi yang dilaksanakan.
Hampir 46 peratus peserta terdiri daripada wanita yang majoritinya terlibat dalam aktiviti jahitan, kraftangan dan penghasilan produk berasaskan makanan.
Manakala sekitar 18 peratus peserta pula terdiri daripada golongan berusia 35 tahun ke bawah yang aktif dalam aktiviti pertanian dan makanan, pelancongan dan projek rekreasi setempat.
Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa program berasaskan komuniti seperti Sejati Madani bukan sahaja membantu menjana pendapatan malah turut berperanan melahirkan masyarakat yang lebih aktif dan produktif.
Hasil daripada kajian UUM mendapati, sektor pertanian dan makanan menjana pendapatan sehingga mencecah RM20,000 sebulan.
Sektor pertanian dan makanan dilihat sebagai antara sektor paling berpotensi kerana mampu menjana pendapatan lumayan dalam tempoh yang relatif singkat. Keadaan ini didorong oleh permintaan terhadap makanan yang sentiasa wujud dan stabil dalam pasaran.
Majoriti komuniti mengambil peluang melaksanakan pelbagai projek seperti tanaman cili fertigasi, jagung dan tembikai, selain ternakan ikan serta ayam penelur dan pengeluaran produk makanan tempatan.
Sebahagian projek ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pendapatan peserta, malah turut membuka peluang pasaran di luar kawasan komuniti mereka sendiri.
Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa sektor pertanian masih mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi luar bandar sekiranya diurus secara sistematik serta disokong melalui penggunaan teknologi, latihan dan strategi pemasaran yang lebih berkesan.
Sektor jahitan dan kraftangan turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti dengan purata pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.
Kebanyakan suri rumah mengambil peluang melibatkan diri dalam projek jahitan seperti penghasilan telekung, tudung dan langsir serta pelbagai produk kraftangan tempatan.
Aktiviti ini bukan sahaja membuka ruang kepada mereka untuk menjana pendapatan sendiri malahan membolehkan mereka bekerja dari rumah tanpa perlu meninggalkan keluarga atau berhijrah jauh untuk mencari pekerjaan.
Walaupun pendapatan yang diperoleh mungkin berbeza mengikut jenis produk dan tempahan, namun hasil tersebut sedikit sebanyak dapat membantu menambah pendapatan isi rumah serta meringankan beban perbelanjaan harian keluarga.
Terdapat juga peserta daripada komuniti tertentu yang memiliki kemahiran dalam menghasilkan aksesori dan kraftangan tradisional seperti produk berasaskan manik serta seni anyaman tempatan.
Produk-produk ini bukan sahaja mempunyai nilai seni dan identiti budaya yang tersendiri malahan turut berpotensi tinggi untuk dipasarkan kepada pelancong serta pelanggan di luar kawasan komuniti mereka.
Keunikan hasil tangan yang dihasilkan secara kreatif dan teliti ini secara tidak langsung mampu menjadi tarikan serta membuka ruang kepada pengembangan pasaran yang lebih luas.
Namun begitu, sebahagian peserta masih berdepan beberapa kekangan khususnya dari sudut pengetahuan perniagaan dan kaedah memasarkan hasil kraftangan secara lebih meluas.
Keadaan ini menunjukkan bahawa selain bantuan peralatan dan modal, komuniti juga masih memerlukan sokongan berterusan dalam aspek latihan keusahawanan, pemasaran dan pengurusan kewangan agar potensi sektor jahitan dan kraftangan dapat diperkasakan dengan lebih menyeluruh.
Bagi sektor herba dan kesihatan pula, projek yang dijalankan menunjukkan purata pendapatan sekitar RM5,000 hingga RM15,000 sebulan.
Antara projek yang dijalankan termasuk perkhidmatan rawatan tradisional, pusat kecantikan dan spa komuniti yang berjaya menjana pendapatan tambahan kepada peserta.
Keadaan ini menunjukkan bahawa sektor berasaskan kesihatan dan penjagaan diri juga mempunyai potensi ekonomi tersendiri khususnya apabila permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan kesihatan, kecantikan dan rawatan tradisional yang semakin meningkat.
Selain membantu meningkatkan pendapatan komuniti, sektor ini turut membuka ruang kepada peserta untuk memanfaatkan kemahiran sedia ada dan pengetahuan tradisional sebagai sumber ekonomi yang boleh dikembangkan secara lebih komersial.
Bagi sektor pelancongan dan hospitaliti pula merekodkan pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan. Sektor ini mula berkembang di beberapa kawasan luar bandar dan berpotensi menjadi destinasi utama pelancong domestik dan luar negara.
Bukan itu sahaja, ia juga berupaya menjadi sektor yang boleh menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Kesan limpahan ekonomi daripada sektor ini dilihat lebih meluas kerana ia merangkumi perkhidmatan makanan, pengangkutan dan jualan produk tempatan.
Ini memberi gambaran bahawa sektor ini berupaya menjana peluang pekerjaan yang lebih luas kepada komuniti setempat.
Tidak kurang penting juga ialah sektor aktiviti hijau dan kitar semula. Sektor ini memberi tumpuan kepada usaha membudayakan amalan ekonomi hijau dalam komuniti. Antara projek yang menarik perhatian ialah pelaksanaan pusat kitar semula pandu lalu automatik (ADTReC).
Projek ini menyediakan kemudahan pengumpulan bahan kitar semula seperti plastik, kertas dan minyak masak terpakai.
Walaupun sektor ini dilihat agak perlahan dari sudut pulangan ekonomi berbanding sektor lain, namun ia tetap memberi manfaat kepada komuniti melalui peluang pendapatan sampingan di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.
Pendekatan seperti ini secara tidak langsung membantu membentuk komuniti yang lebih peka terhadap amalan lestari serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti ekonomi yang mesra alam.
Apa yang paling penting, program Sejati Madani sebenarnya membawa satu mesej yang cukup besar kepada masyarakat iaitu komuniti juga mempunyai keupayaan untuk berubah dan membina kekuatan ekonomi sendiri.
Apabila komuniti diberi ruang untuk menentukan hala tuju pembangunan mereka sendiri, mereka menjadi lebih bertanggungjawab dan lebih bersungguh-sungguh untuk memastikan projek berjaya.
Pendekatan seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan, tetapi turut membina semangat berdikari dan daya tahan sosial dalam masyarakat.
Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini, kekuatan ekonomi komuniti di peringkat akar umbi menjadi semakin penting.
Komuniti yang mempunyai sumber pendapatan sendiri dan mampu menggerakkan aktiviti ekonomi setempat akan lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Oleh sebab itu, program Sejati Madani tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai program bantuan semata-mata tetapi sebagai satu pelaburan sosial dan ekonomi untuk membina komuniti yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan mampan.
Kejayaan sebenar program ini bukan hanya diukur melalui jumlah projek yang diluluskan atau nilai peruntukan yang disalurkan tetapi melalui perubahan yang berlaku dalam kehidupan komuniti itu sendiri.
Apabila penduduk mula mempunyai keyakinan untuk menjalankan aktiviti ekonomi, sebenarnya ini menunjukkan yang mereka mampu menjana pendapatan sendiri, bekerjasama dalam komuniti dan mampu merancang masa depan dengan lebih baik. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Mukaramah Harun dan Dr. Wan Roshidah Fadzim ialah pensyarah di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










