La Roja tekad hapus badi 16 tahun, Austria 'liat' dikalahkan

La Roja tekad hapus badi 16 tahun, Austria ‘liat’ dikalahkan

KELINCAHAN Lamine Yamal menjadi taruhan Sepanyol dalam merobek gawang Austria pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Los Angeles, awal pagi esok-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Selepas lebih sedekad bergelut di pentas dunia, Sepanyol tekad bangkit memburu status kuasa besar bola sepak apabila menentang Austria dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi esok.

Juara Eropah itu hadir ke Amerika Utara sebagai antara pasukan pilihan, namun langkah mereka tidak bermula dengan sempurna apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Cape Verde dalam aksi pembukaan Kumpulan H.

Bagaimanapun, La Roja bangkit mempamerkan karakter sebenar menerusi kemenangan ke atas Arab Saudi dan Uruguay untuk muncul juara kumpulan, sekali gus menghidupkan semula keyakinan bahawa mereka mampu melangkah jauh dalam kejohanan ini.

Kini, skuad kendalian Luis de la Fuente berdepan misi lebih besar apabila mahu menamatkan penantian 16 tahun untuk meraih kemenangan dalam aksi kalah mati Piala Dunia sejak menjulang trofi berprestij itu di Afrika Selatan pada 2010.

Sejak kejayaan bersejarah tersebut, Sepanyol sering dihimpit kekecewaan apabila tersingkir di peringkat kumpulan pada 2014 sebelum tewas menerusi penentuan penalti kepada Russia pada 2018 dan Maghribi (2022).

Pemain tengah La Roja, Fabian Ruiz percaya pasukannya kini semakin hampir mencapai tahap terbaik selepas menunjukkan peningkatan ketara daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Perlawanan pertama tidak berjalan seperti yang kami harapkan kerana Cape Verde memberikan cabaran yang sangat sukar. Tetapi saya melihat pasukan ini berkembang dengan baik dan keyakinan kami semakin meningkat.

“Piala Dunia sentiasa sukar kerana tiada lawan yang mudah, namun kami percaya dengan kemampuan sendiri dan sudah bersedia untuk cabaran seterusnya,” kata Ruiz.

Meskipun Sepanyol dilabel sebagai pasukan pilihan, Austria hadir dengan reputasi sebagai antara pasukan paling sukar dijinakkan menerusi corak permainan berintensiti tinggi serta disiplin taktikal yang diterapkan jurulatihnya, Ralf Rangnick.

Rangnick menyifatkan pertemuan itu sebagai ujian terbesar buat Austria setakat ini, namun menegaskan pasukannya tidak akan turun ke padang sekadar untuk bertahan.

“Kami tahu kekuatan Sepanyol dan sebab mereka dianggap antara pasukan terbaik dunia ketika ini. Namun Austria tidak berada di sini secara kebetulan dan para pemain telah membuktikan mereka mampu bersaing di tahap tertinggi.

“Jika kami mengekalkan disiplin, keberanian dan intensiti permainan sepanjang perlawanan, saya percaya kami mampu memberikan saingan hebat kepada mereka,” ujar Rangnick.

Dengan kehadiran bintang muda seperti Lamine Yamal, Nico Williams dan Pedri, serta pengalaman Rodri dan Ruiz, Sepanyol dilihat memiliki kelebihan untuk mara namun Austria sudah membuktikan mereka gemar meranapkan ramalan pasukan gergasi dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN