PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) mewakafkan dua lot tanah seluas 0.76 hektar kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Seberang Perai Utara, baru-baru ini.
Dua lot tanah wakaf tersebut adalah Masjid Jamek Nurul Iman, Kubang Menerong dan Surau Ad Diniah Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.
Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, sumbangan tanah wakaf itu merupakan tanda ingatan CBP kepada penduduk di Pulau Pinang amnya dan kawasan Seberang Perai Utara khususnya.
Katanya, antara kejayaan terbesar seawal penubuhan CBP adalah membeli tanah seluas 2,743.7 hektar di kawasan Seberang Utara sekitar 1950.
“Tanah ini kemudian dijual semula kepada ahli-ahli yang berdaftar dengan CBP secara berperingkat di bawah Rancangan Tanah Kebun Bertam (RTKB).
“Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka mendapatkan pemilikan tanah yang kekal sehingga kini.
“Oleh itu, CBP telah bersetuju untuk mewakafkan dua lot tanah di Kubang Menerong dan Kampung Lembah Raja yang merupakan masjid dan surau untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berharap, sumbangan tanah wakaf itu dapat membawa keberkatan kepada perniagaan CBP dan dalam masa yang sama memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat.
CBP ditubuhkan pada 7 Jun 1950 dan telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah co-opbank pada September 2014.
Bank yang menawarkan pelbagai produk perbankan patuh syariah tersebut mempunyai 30 buah cawangan dan perkhidmatan Ar Rahnu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.- UTUSAN










