PETALING JAYA: Ringgit terus merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga ke paras terendah sejak Oktober 2022, ekoran Rizab Persekutuan (Fed) AS yang masih mengekalkan pendirian peningkatan kadar faedah perlu bagi membendung tekanan inflasi.
Pada pukul 9 pagi, unit tempatan menyusut nilai kepada 4.6630/6670 berbanding dolar AS daripada 4.6525/6580 pada penutupan Khamis, sebelum ditutup pada 4.6740/6790.
Mata wang tempatan meningkat sedikit berbanding mata wang utama lain antaranya pound Britain kepada 5.9360/9437 daripada 5.9374/9473 pada penutupan kelmarin, mengukuh berbanding euro kepada 5.0704/0772 daripada 5.1091/1166 sebelumnya.
Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura apabila ditutup pada 3.4553/4593 daripada 3.4643/4700.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, selain Fed AS, beberapa bank pusat utama di seluruh dunia turut mengambil pendirian sama.
Sebagai contoh, ujarnya, Bank of England telah menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 50 mata asas pada minggu ini yang melebihi jangkaan manakala kadar faedah di United Kingdom (UK) kini telah mencecah 5.0 peratus.
“Justeru, kadar faedah di negara-negara maju dilihat lebih tinggi dan ini menyebabkan minat yang tinggi terhadap mata wang dolar AS, pound sterling dan euro.
“Jika kita lihat kadar faedah di AS dan UK, ia telah pun berada pada paras 5.25 peratus dan 5.0 peratus yang melebihi Kadar Dasar Semalaman (OPR) kita iaitu pada 3.0 peratus.
“Perkara ini sebenarnya yang banyak menyumbang kepada kelemahan mata wang ringgit buat masa ini,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, jelas Afzanizam, rakyat tidak perlu panik kerana asas ekonomi negara berada di paras yang baik berikutan tahap memuaskan kecairan dan kecukupan modal dalam sistem perbankan.
“Ini bererti aktiviti ekonomi seperti penggunaan dan pelaburan akan terus berlaku seperti biasa dibantu pula dengan akses kepada kredit yang mudah. Dengan kata lain, ekonomi negara boleh bertumbuh pada kadar positif meskipun berhadapan kemeruapan mata wang asing.
“Selain itu, negara perlu tingkatkan keyakinan para peniaga dan pelabur melalui dasar ekonomi yang boleh membawa pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi.
“Ini termasuk reformasi ekonomi yang menyentuh tatakelola, subsidi bersasar serta dasar yang mesra perniagaan,” ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya keyakinan dapat ditingkatkan, maka akan ada kemasukan dana dari luar yang akan mewujudkan permintaan terhadap ringgit.
Dalam pada itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berpendapat, penambatan ringgit tidak wajar memandangkan keadaan semasa dianggap normal dan tidak berlaku situasi seperti penyusutan mendadak atau tidak terkawal.
Beliau berkata, penambatan ringgit merupakan langkah yang bukan sahaja ‘unik dan tersendiri’, bahkan wujud cuma sekali dalam hayat hidup.
Ini kerana, tambahnya, penambatan mata wang dalam persekitaran dan seni alam kewangan antarabangsa yang didominasi dan didenominasi dalam wang fiat tidak mendatangkan faedah dari segi pengumpulan rizab antarabangsa, antara sebab yang lain kerana ada perbezaan di antara akaun barangan (current account) dalam keadaan lebihan (surplus).
“Tetapi akaun modal (capital account) berada dalam keadaan defisit. Pada masa yang sama, dari segi imbangan pembayaran (balance of payments) dalam import makanan pula, negara mengalami defisit dan ini berterusan sehingga sekarang dan semakin tinggi.
“Bagaimanapun, jika Bank Negara sebagai pentadbir dasar monetari negara mengembalikan langkah-langkah yang dikenakan semasa tempoh ringgit ditambatkan daripada 1998 hingga 2005 – bagi mengawal aliran modal jangka masa pendek, kemungkinan keadaan turun naik boleh diminimakan seperti pengehadan dan sekatan terhadap bukan pemastautin dalam aktiviti pinjaman dan penggunaan ringgit di luar dan dalam negara,” katanya. – UTUSAN










