Mohd. Asri mampu jual 1,000 set kit batik sebulan - Utusan Malaysia

Mohd. Asri mampu jual 1,000 set kit batik sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATIK merupakan antara produk seni warisan negara yang dihasilkan melalui proses menerap lilin cair dan mencelup warna bagi menghasilkan corak berunsurkan pelbagai motif termasuk flora mahu pun fauna.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh sebilangan pihak bagi mengekalkan seni batik ini seterusnya memastikan ia tidak terus tenggelam ditelan arus peredaran zaman.

Kesempatan itu turut digunakan oleh anak kelahiran Pasir Putih, Kelantan, Mohd Asri Mat Yaman, 58, dengan menghasilkan set batik kit bagi memberi peluang kepada golongan muda termasuk kanak-kanak mendalami penghasilan seni berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd Asri berkata, dia mendapat cetusan idea bagi menghasilkan set batik kit itu selepas melihat penerimaan masyarakat terhadap seni berkenaan yang semakin diminati oleh semua peringkat umur.

“Kami mula menghasilkan set batik kit ini sejak 2015 dan saban tahun permintaannya semakin baik tidak kira daripada kanak-kanak mahu pun orang dewasa yang berminat untuk merasai pengalaman menghasilkan seni batik ini,” katanya.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga orang anak ini berkata, set batik kit itu mempunyai kain yang telah dicanting dengan menggunakan lilin panas mengikut corak tertentu yang dihasilkan sendiri olehnya.

Selain itu, Mohd Asri berkata, terdapat juga berus dan warna turut disediakan di dalam kit itu bagi kegunaan pengguna untuk mewarna kain yang telah dicanting tersebut.

“Melalui set ini, pengguna hanya perlu mewarna kain putih yang telah dicanting mengikut corak tertentu itu bagi menghasilkan seni yang menarik berdasarkan kreativiti mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, harga bagi setiap satu set batik kit yang dipasarkan olehnya itu adalah amat berpatutan iaitu hanya RM10.

Ujarnya, pihaknya mampu memasarkan sebanyak 1,000 set kit batik berkenaan dalam masa sebulan berikutan permintaannya sangat baik dalam kalangan masyarakat.

“Permintaan bagi set batik kit ini sememangnya baik kerana orang ramai sebenarnya teruja apabila dapat membawa balik barangan berkenaan bagi mencuba sendiri menghasilkan seni batik.

“Kit ini juga dapat digunakan sebagai aktiviti tambahan di sekolah bagi kegunaan murid-murid,” katanya.

Di samping itu, Mohd Asri berkata, pihaknya juga banyak memasarkan set batik kit berkenaan menerusi siri pameran yang disertai di bawah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC) Kelantan.

Malah, dia berkata, hasil jualan secara dalam talian turut mendapat permintaan tinggi dari kalangan pengguna dari seluruh Malaysia.

“Saya sering memasarkan set baik kit ini di laman Facebook kami iaitu menerusi akaun Rieham Batik dan Instagram iaitu Puyie Batik.

“Setakat ini permintaan di dua platform ini sememangnya tidak putus-putus dan dapat menjadi sumber pendapatan bulanan buat saya,” katanya.

Pada hari kebiasaan, Mohd Asri berkata, dia lebih memberi fokus bagi menghasilkan corak pada kain semutar di bengkelnya yang terletak di Semerak, Pasir Putih, Kelantan.

Malah, dia turut bersyukur kerana isteri dan tiga anaknya ringan tulang bagi membantu dalam menyiapkan tempahan dan permintaan orang ramai.

“Jika dilihat penerimaan masyarakat terhadap kain semutar mahu pun corak batik ini sememangnya semakin mendapat perhatian daripada setiap lapisan umur tidak kira tua mahu pun muda.

“Disebabkan itu kalau boleh saya ingin lihat anak-anak turut mewarisi seni ini agar dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya