PETALING JAYA: Liberty Technology Resources Sdn Bhd (LTRSB) diarah membayar RM14.39 juta kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan samannya.
SSM dalam satu kenyataan berkata, Hakim Ong Chee Kwan dalam penghakimannya turut membenarkan tuntutan balas SSM di mana LTRSB telah diarah untuk memulangkan semula RM12,228,365.80 juta yang telah dibayar oleh SSM kepada syarikat itu.
Syarikat teknologi berkenaan juga turut diarah Hakim Chee Kwan untuk membayar RM1,966,812.94 juta kepada SSM sebagai Ganti Rugi Tertentu Dan Ditetapkan.
“LTRSB juga diarah untuk membayar faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah tuntutan SSM yang dikira dari 26 November 2020 sehingga pembayaran penuh tuntutan SSM dan kos sebanyak RM200,000 dibayar kepada SSM,” katanya
Menurut SSM, LTRSB sebelum ini memfailkan saman berikutan tindakan suruhanjaya berkenaan menamatkan kontrak pembangunan sistem Enterprise Resource Planning (Projek ERP) pada 19 Disember 2019.
Katanya, pembatalan berkenaan disebabkan kegagalan LTRSB untuk membangun dan menyiapkan projek tersebut dalam tempoh yang ditetapkan walaupun tempoh pelanjutan masa telah diberikan.
Jelas SSM lagi, perjanjian bagi pembangunan projek tersebut telah ditandatangani antara suruhanjaya itu dengan LTRSB pada 13 September 2017.
“Tempoh pelaksanaan projek termasuk tempoh sokongan dan penyelenggaraan adalah selama 28 bulan bermula 3 April 2017 sehingga 31 Ogos 2019 termasuk empat lanjutan masa yang diberikan berikutan kegagalan LTRSB menyempurnakan pembangunan sistem mengikut tempoh asal.
“Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut telah ditamatkan oleh SSM pada 19 Disember 2019 berikutan kegagalan LTRSB menyiapkan Projek ERP menurut kontrak,” katanya. – UTUSAN










