Kerajaan perlu tegas laksana kenaikan gaji - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu tegas laksana kenaikan gaji

indonesia
KERAJAAN perlu tegas laksana kenaikan gaji bagi mengelak tenaga kerja tempatan bekerja di luar negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan gaji bagi menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan boleh dicapai melalui peraturan dan kawalan rapi pihak kerajaan, menurut Penasihat Buruh Antarabangsa, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia, Callistus Antony D’Angelus.

Ini bagi mengelak lebih ramai tenaga kerja tempatan yang mencari peluang kerja di luar negara, sekali gus merugikan institusi tempatan.

Beliau berkata, ini kerana tiada apa yang boleh diharapkan daripada komuniti perniagaan dalam hal ini.

“Mereka telah terbiasa dengan apa yang telah dilakukan selama berdekad-dekad sebelum ini iaitu menekan tahap gaji sehingga persekitaran ekonomi yang tidak masuk akal untuk rakyat Malaysia bekerja dalam pekerjaan sedemikian.

“Pekerja asing dibawa masuk, termasuk ada yang didera dan dinafikan hak asasi manusia, dan pada tahap gaji yang tidak mampu diterima oleh rakyat Malaysia.

“Dengan cara ini, perniagaan dapat mengurangkan kos dan menyalahgunakan pekerja namun semuanya dilihat seperti sah dari segi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kerajaan mesti memimpin untuk memulakan reformasi sistemik dalam bentuk memperkenalkan gaji minimum yang realistik dan bermakna, memastikan hak perwakilan kesatuan sekerja yang sesuai dan mendakwa majikan yang menyalahgunakan pekerja asing.

“Mana-mana majikan yang didapati menyalahgunakan pekerja asing, seperti memegang pasport mereka dan menahan di tempat tinggal mereka, harus dipertanggungjawabkan secara jenayah.

“Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergerak ke arah yang betul dan ini adalah satu perkara yang perlu diberi tumpuan sekarang,” ujarnya.

Callistus menyifatkan perniagaan pekerja asing di Malaysia ialah perniagaan perdagangan hamba zaman moden.

“Ramai orang yang mengambil rasuah dan salah guna kuasa telah menjana wang dalam jumlah yang banyak untuk diri mereka melalui mekanisme eksploitatif yang telah diinstitusikan ini.

“Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar harus meneliti kementeriannya sendiri untuk menentukan sama ada mereka mempunyai peranan dalam hal ini, sama ada secara langsung atau tidak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya