Jual 1,000 kotak jus kesihatan berasaskan superfruit sebulan

Jual 1,000 kotak jus kesihatan berasaskan superfruit sebulan

ROBIN Lim menyusun kotak-kotak produk Fruju yang dipasarkan kepada orang ramai di Superfruit Valley, Chuping, Padang Besar. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESUKARAN memasarkan pro­duk tanaman sewaktu pandemik Covid-19 sebelum ini telah mem­­beri cetusan idea buat pe­ngusaha ladang Superfruits Valley bagi menghasilkan inovasi produk baharu berasaskan buah-buahan itu

Beberapa halangan sewaktu era pandemik telah menyukarkan pemasaran produk-produk pertanian dari ladang berkenaan khususnya membabitkan kos penghantaran dan pengedaran ke seluruh negara.

Berbekalkan prinsip bagi me­masarkan produk pertanian se­cara terus kepada pengguna, Pe­ngarah Urusan Syarikat Fig Direct, Robin Lim yang juga pemilik ladang Superfruits Valley di Chuping, Padang Besar di sini mendapat cetusan idea mengatasi masalah itu menerusi penghasilan inovasi lebih ringan, mu­­­dah dihantar dan kekal ber­khasiat.

Atas faktor sedemikian, Ro­bin memilih teknologi terkini digunakan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) bagi menghasilkan produk jus kesihatan berasaskan superfruit seperti buah gac, markisah, mulberi dan tin.

Menurut Robin, pihaknya menggunakan teknologi be­ku kering bagi penghasilkan produk jenama Fruju yang me­rupakan antara teknik peng­awetan makanan paling efisien pada masa kini.

“Menerusi kaedah ini, kelembapan buah yang diadun bersama madu diekstrak keluar dalam keadaan di bawah paras beku -40 darjah celcius bagi mengekalkan 97 peratus keaslian kandungan nutriennya.

“Oleh demikian, kami dapat menghasilkan produk jus kesihatan dalam bentuk serbuk dan lebih mudah diminum oleh pengguna kami pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada,” katanya kepada Utusan Malaysia di Padang Besar, baru-baru ini.

JUS kesihatan yang dihasilkan menerusi teknologi beku kering dapat bertahan untuk jangka masa panjang iaitu selama dua tahun. –UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Mengulas lanjut, Robin berkata, produk dihasilkannya itu buat masa ini terdiri daripada tiga varian perisa iaitu jus mulberi, jus buah tin dan campuran jus markisah bersama buah gac.

Katanya, produk Fruju itu mula dipa­sarkan sejak awal Januari ta­­hun ini dan da­lam masa sebulan pihaknya mam­pu menju­al sekitar lebih 1,000 kotak bagi setiap perisa ber­kenaan.

“Setiap kotak produk Fruju ini mengandungi 12 sachet dan pengguna hanya perlu mengamalkan pengambilannya sekali untuk tempoh seminggu.

“Pengambilannya juga amat mudah kerana pengguna ha­nya perlu mencampurkan serbuk berkenaan bersama air malah penghasilan Fruju tidak menggunakan sebarang bahan pe­ngawet atau gula kerana kandu­ngan setiap produk ini adalah buah asli yang dike­ringkan dengan campuran madu,” katanya.

Dalam pada itu, Robin berkata, produk berkenaan juga mempunyai kelebihan tersendiri dan kualitinya dapat bertahan untuk tempoh selama dua tahun.

Katanya, semua buah-buah kategori superfruit yang digunakan dalam produk berkenaan juga ditanam sendiri di atas tanah ladang berkeluasan 25 hektar.

“Buah ini mempunyai ba­nyak khasiat contohnya mulberi dapat memberi kebaikan untuk otak kerana kandungannya mempunyai vitamin A dan K manakala buah tin pula mempunyai khasiat dalam membantu pencegahan penyakit kanser.

“Selain itu, buah gac dan markisa pula dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung,” katanya.

Buat masa ini, Robin berkata, pihaknya memasarkan produk berkenaan menerusi platform pemasaran dalam talian seperti Lazada dan Shopee bagi penghantaran ke seluruh negara.

Ujar Robin, dia turut mempunyai perancangan bagi memasarkan produk jus kesihatan itu ke pasaran farmasi, gim dan pasar raya selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya