PETALING JAYA: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menyasarkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion bermula tahun keempat operasinya menerusi sinergi, integrasi dan naik taraf tapak telekomunikasi Celcom dan Digi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Idham Nawawi berkata, langkah tersebut tidak hanya memberikan manfaat kewangan, malah pengguna Digi dan Celcom bakal beroleh liputan rangkaian lebih luas, kelajuan internet lebih pantas dan pengalaman perkhidmatan lebih baik.
Ujarnya, proses itu dijangka memakan masa antara dua tahun setengah dan tiga tahun, bergantung kepada kapasiti rakan kongsi dan pasukannya di lapangan.
“Jumlah tapak telekomunikasi Celcom dan Digi yang masing-masing memiliki 12,000 tapak di seluruh negara akan digabungkan menjadi 18,000 tapak, antaranya dengan mengelakkan pertindihan sedia ada.
“Sebelum beroleh penjimatan kami perlu mengeluarkan kos untuk melabur terlebih dahulu, projek rintis telah dilaksanakan di lima kluster iaitu Sitiawan, Rawang, Bercham, Port Dickson serta Kuantan dan kami berbesar hati usaha naik taraf berkenaan telah diuruskan tanpa sebarang gangguan terhadap pengalaman pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi meja bulat bersama media di Menara CelcomDigi, di sini semalam.
Semalam, genap enam bulan CelcomDigi bermula iaitu pada 1 Disember 2022 dan syarikat itu kini memiliki lebih 20 juta pelanggan di negara ini, dengan lebih 500 titik sentuh dan lebih 4,000 kakitangan.
Mengambil contoh projek rintis di Sitiawan, Idham menjelaskan, sebanyak 49 tapak telekomunikasi Celcom dan 65 tapak Digi digabungkan menjadi 81 tapak dan pengguna di kawasan tersebut telah menyaksikan liputan 14 peratus lebih baik, manakala kelajuan muat turun bertambah pada baik sebanyak 40 peratus.
“Pengguna akan mula menikmati kualiti perkhidmatan lebih baik secara berperingkat setelah proses penyatuan di kawasan mereka selesai,” katanya. – UTUSAN