Shiha Zikir mahu hadiahkan lagu khas buat Adrian Adam - Utusan Malaysia

Shiha Zikir mahu hadiahkan lagu khas buat Adrian Adam

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai individu yang ingin menghadiahkan sebuah lagu khas kepada Adrian Adam, anak kepada pelakon Amyza Adnan, akhirnya terjawab apabila penyanyi dan komposer, Shiha Zikir mengesahkan hasrat tersebut.

Menurut Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 39, dia terus menghubungi pihak terlibat sejurus selepas menonton persembahan Talk To My Manager (TTM2), malam tadi, kerana tertarik dengan kualiti vokal yang ditampilkan.

“Semalam, lepas tengok persembahan beliau, terus Shiha hubungi dia untuk hadiahkan lagu. Sedap suaranya.

“Sebelum ini, saya tidak sempat nak realisasikan untuk salah seorang ahli keluarga beliau. Jadi saya harap kali ini dapat saya tunaikan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Shiha berkata, dia percaya bahawa peluang tersebut hadir sebagai rezeki dan ingin memberikan sesuatu yang bermakna melalui karya muzik.

“Alhamdulillah, Shiha terima respon positif daripada pihak mereka. Semoga Shiha dapat realisasikannya kali ini.

“Kadang-kadang hidup ini lebih bermakna bila kita dapat buat orang lain bahagia,” katanya.

Terdahulu, Adrian Adam menerima tawaran daripada seorang komposer yang juga pemilik syarikat rakaman hanya kira-kira 30 minit selepas membuat persembahan dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2), malam tadi.

Untuk rekod, pelakon dan pelawak Amyza Adnan sebelum ini berkongsi bahawa individu berkenaan telah menyatakan hasrat untuk menghasilkan sebuah lagu khas buat Adrian menerusi aplikasi WhatsApp sejurus selepas persembahan tersebut.

Susulan perkembangan itu, Shiha Zikir menerusi satu hantaran di Threads memaklumkan bahawa dia akan mencipta sebuah lagu khas buat Adrian Adam, selepas hasratnya sebelum ini tidak sempat direalisasikan untuk salah seorang ahli keluarga Amyza Adnan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN