PETALING JAYA: Bursa Malaysia melantun semula untuk dibuka tinggi sedikit pada sesi dagangan awal hari ini, meskipun prestasi Wall Street lebih lemah semalaman, disebabkan pelabur meneliti data ekonomi yang lebih lemah daripada jangkaan menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) minggu depan.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.10 pagi ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.29 mata kepada 1,382.55, daripada 1,381.26 pada penutupan Jumaat lalu.
Indeks utama dibuka 0.84 mata lebih tinggi pada 1,382.10.
Pasaran lebih positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 209 berbanding 145, manakala 289 kaunter tidak berubah, 1,600 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 394.18 juta unit, bernilai RM123.84 juta.
Bursa Malaysia ditutup semalam sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. menjangka bursa tempatan menjejaki aliran menaik dalam pasaran serantau, disokong oleh aktiviti memburu murah pada hari Selasa.
“Pelabur mungkin memantau keluaran dalam negara kasar (KDNK) Jepun dan zon Euro, serta kadar inflasi China untuk mengukur keagresifan kenaikan kadar faedah global,” katanya dalam satu nota.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing meningkat satu sen kepada RM8.59 dan RM6.56, dan Public Bank menokok dua sen kepada RM3.80, manakala Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM9.34 dan CelcomDigi turun dua sen kepada RM4 .46.
Antara saham aktif, Classita dan Bintai Kinden masing-masing naik 1.5 sen kepada 13.5 sen dan lapan sen, Techna-X naik satu sen kepada 2.5 sen, Bumi Armada susut 13.0 sen kepada 50.5 sen, manakala Dagang NeXchange susut 1.5 sen kepada 50.0 sen. – UTUSAN











