MGB catat pertumbuhan kukuh suku pertama TK2023

MGB catat pertumbuhan kukuh suku pertama TK2023

LIM HOCK SAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Berhad, mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2023 (S1 TK2023), dengan pendapatan sebanyak RM177.67 juta.

Bagi tempoh berkenaan, keuntungan selepas cukai (PAT) MGB meningkat 79.59 peratus kepada RM12.24 juta daripada RM6.81 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

MGB berkata, keputusan kukuh itu dijana daripada projek-projek seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, Ritma Perdana dan Melodi Perdana di Alam Perdana yang dijangka siap dibina menjelang TK2023.

Di samping itu, MGB turut berjaya memuktamadkan akaun projek yang telah selesai dengan kontraktor utama sekaligus menyumbang kepada keputusan kewangan.

“Segmen pembinaan dan perdagangan merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB dengan RM168.64 juta manakala segmen keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi tempoh kewangan semasa adalah RM13.40 juta berbanding RM10.91 juta pada suku tahunan sama sebelumnya.

“Pengeluaran konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang meningkat dimanfaatkan dengan baik sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh yang terhad dan tinggi.

“Meskipun berlaku kenaikan harga bahan-bahan mentah dan kekurangan tenaga buruh, MGB terus merekodkan laporan margin yang lebih baik dan memberangsangkan dengan pendapatan kira-kira RM14.26 juta pada suku ini dan mempunyai baki lima buah projek sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, MGB memberitahu, peningkatan prestasi syarikat turut disokong oleh segmen pembangunan hartanah dan pembinaan seperti Projek Idaman Melur, Cybersouth yang baru dilancarkan berjumlah 1,448 unit, serta perkembangan pesat pada Fasa 3 dan 4 Laman Bayu, Batu Pahat merupakan pemangkin kepada peningkatan segmen tersebut dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan dengan jumlah RM9.12 juta berbanding RM4.58 juta pada suku yang sama, tahun sebelumnya.

Segmen PBT bagi suku semasa merekodkan RM3.06 juta berbanding suku tahun sebelumnya RM0.67 juta, jelasnya.

Mengulas prestasi itu, Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, 2023 dimulakan dengan langkah yang betul di mana keputusan tersebut merupakan prestasi yang kukuh bagi MGB sejak penubuhan syarikat.

“Dengan 20 projek yang masih berjalan, MGB dijangka menjana pendapatan kira-kira RM 4 bilion pada tahun – tahun akan datang. Ini berdasarkan tempahan pembinaan tertunggak sebanyak RM1.78 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.36 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah,” katanya

Jelas beliau, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan projek dan penyediaan unit-unit kediaman tepat pada masanya dengan cara menjimatkan kos di samping mengekalkan kualiti produk.

Katanya, sambutan projek Rumah Idaman MBI syarikat dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) amat menggalakkan dan dijangka berterusan untuk baki pelancaran projek dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“MGB turut menjangkakan peningkatan semula projek pembinaan, justeru momentum dapat dikekalkan bagi memperoleh lebih banyak projek pembangunan Rumah Idaman MBI melalui kerjasama dengan MBI.

“Kami optimis bahawa MGB berada pada kedudukan yang stabil dan mampu memberikan pulangan yang positif bagi baki tahun 2023 sungguhpun berhadapan cabaran kenaikan kadar faedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN