PETALING JAYA: Permintaan buruh terus menunjukkan trend peningkatan pada suku pertama 2023 dengan jumlah jawatan merekodkan peningkatan sebanyak 2.7 peratus, melepasi paras pra pandemik, menurut laporan Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, permintaan buruh Malaysia dilihat semakin pulih pada suku pertama 2023 dengan peningkatan jawatan sebanyak 233,700 dalam sektor ekonomi, merekodkan 8.81 juta jawatan (ST1 2022: 8.57 juta).
Beliau berkata, trend positif itu menunjukkan pemulihan ekonomi negara yang semakin baik, disokong pelbagai inisiatif kerajaan seperti program penempatan pekerjaan, subsidi gaji dan insentif cukai.
“Untuk rekod, bilangan jawatan pada suku tahun ini adalah yang tertinggi sepanjang siri masa sejak 2018.
“Trend yang sama juga dapat dilihat bagi jumlah jawatan diisi yang meningkat sebanyak 2.7 peratus, mencatatkan 8.61 juta jawatan pada ST1 2023 (ST1 2022: 8.39 juta).
“Peningkatan ini antara lainnya disokong oleh inisiatif kerajaan dalam pelonggaran peraturan pengambilan pekerja asing melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan Rekaliberasi Tenaga Kerja 2.0.
“Selain itu, bilangan kekosongan jawatan meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada 192,600 kekosongan pada suku tahun ini. Bagi kadar jawatan diisi dan kekosongan jawatan, masing-masing kekal pada 97.8 peratus dan 2.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, walaupun momentum pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan pada tahun ini susulan risiko kemelesetan global, aktiviti perniagaan di Malaysia dijangka akan terus berkembang, seterusnya menyumbang kepada lebih banyak peluang pekerjaan.
“Kedudukan pasaran buruh juga dijangka akan kekal stabil dan berkembang pada bulan-bulan akan datang disokong oleh perkembangan semasa aktiviti ekonomi di Malaysia,” katanya.
Kata beliau, analisis pertumbuhan tahun ke tahun mengikut sektor ekonomi menunjukkan, semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif pada suku tahun ini.
Sektor pembuatan kekal mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada kadar 3.8 peratus (2.32 juta), diikuti Perlombongan & Pengkuarian (3.4 peratus) dan Pertanian (2.9 peratus).
Dari segi komposisi, sebanyak 4.53 juta jawatan diisi (52.6 peratus) tertumpu di sektor Perkhidmatan, diikuti Pembuatan (27.0 peratus; 2.32 juta) dan Pembinaan (14.3 peratus; 1.23 juta).
“Bagi perincian mengikut kategori kemahiran, sebahagian besar jawatan diisi adalah dalam kategori separuh mahir, mencatatkan 5.39 juta jawatan atau bersamaan 62.6 peratus, diikuti kategori mahir (2.15 juta jawatan/24.9 peratus) dan berkemahiran rendah (1.08 juta jawatan/12.5 peratus),” katanya.
Dari segi kekosongan jawatan, Mohd. Uzir berkata, kekosongan jawatan telah meningkat kepada 192,600 jawatan pada suku tahun ini, sebahagian besarnya adalah di sektor Pembuatan yang menyumbang sebanyak 107,700 kekosongan jawatan (55.9 peratus).
Tambahnya, dengan ekonomi Malaysia yang semakin pulih, lebih banyak pewujudan jawatan telah direkodkan pada suku tahun ini, yang merangkumi 31,700 jawatan yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan industri. – UTUSAN










