Proton percepat program NEV, tawar barisan kenderaan baharu

Proton percepat program NEV, tawar barisan kenderaan baharu

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz dan kepimpinan Proton melawat kilang pintar Zeekr di Ningbo, China, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton terus meneroka peluang mempercepatkan program kenderaan tenaga baharu (NEV), terutamanya ke arah menawarkan model NEV yang berpatutan dan praktikal serta meneruskan pembangunan tempatan dan pembangunan ekosistem NEV di Malaysia, dengan kerjasama Geely.

Usaha itu mendapat momentum apabila Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai pratonton rangkaian model NEV di bawah Kumpulan Geely semasa lawatan ke kilang pintar Zeekr di Hangzhou Bay, Ningbo, China.

Ditubuhkan pada 2021, Zeekr ialah jenama kereta elektrik premium yang dimiliki oleh Geely Automobile Holdings yang mengkhusus dalam kereta elektrik dan beroperasi pada falsafah perusahaan berorientasikan pengguna, selaras dengan menjadi sebuah syarikat teknologi mobiliti pintar.

Kilang Pintar Zeekr memaksimumkan penggunaan aplikasi IR4.0 dan 5G dan melambangkan tahap kecekapan pembuatan tertinggi.

Acara itu turut menyaksikan pemeteraian dokumen Perjanjian Induk (HoA) antara DRB-HICOM dan Geely yang memeterai komitmen mereka untuk bersama-sama melabur, mengurus dan membangunkan Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim sebagai bandar pintar dan hab untuk Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV).

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, selepas melalui perkongsian perniagaan selama lima tahun, Proton dan Geely telah mencapai kemajuan yang besar dalam membawa produk, teknologi dan pelaburan baharu ke Malaysia.

Ujarnya, berikutan pemeteraian HoA di Beijing di mana AHTV mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan RM32 bilion, lawatan ke Ningbo menunjukkan perkongsian Proton dan Geely akan terus berkembang dengan pelaksanaan program NEV.

“Kami mengakui kepentingan Malaysia menjadi hab serantau bagi produk NxGV justeru Proton sebagai jenama nasional akan memainkan peranan aktif dalam menyumbang secara signifikan ke arah mencapai matlamat negara.

“Untuk berdaya saing, Proton dan ekosistem automotif mesti melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pro­ses pembuatan termaju.

“Dengan pembangunan AHTV yang progresif dan penglibatan berterusan dalam kalangan pihak berkepentingan terutamanya Ke­rajaan Malaysia, DRB-HICOM, Kumpulan Geely, Proton dan ekosistem automotif, matlamat ini dapat dicapai,” katanya.

Langkah pertama bagi mencapai sasaran itu ialah pelancaran Proton X90, tambahan terbaharu kepada rangkaian kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama yang dikuasakan oleh versi hibrid ringan enjin 1.5 TGDInya.

Ia diikuti dengan pengenalan pasaran smart #1 oleh PRO-NET di pasaran Malaysia pada suku keempat 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN