PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah melancarkan perkhidmatan kutipan fidyah di kaunter cawangan Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Bank Muamalat merupakan institusi perbankan Islam pertama dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi menawarkan khidmat nasihat, pengiraan dan pembayaran fidyah.
Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid sempena majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan media, Jumaat lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, bagi peringkat pertama, perkhidmatan kutipan fidyah yang diperkenalkan adalah dengan kerjasama MAIS dan MAIWP.
“Melangkah ke hadapan, pihak Bank akan mengadakan kerjasama dengan beberapa majlis agama Islam negeri lain untuk memperluaskan penawaran khidmat pembayaran fidyah di kaunter kepada umat Islam di seluruh negeri secara berperingkat, dalam usaha untuk menjadi pusat penyelesaian sehenti atau ‘one-stop solution’ dalam memenuhi semua keperluan kewangan serta memberi manfaat kepada pelanggan.
“Menariknya, pelanggan sedia ada Bank Muamalat dan orang ramai yang beragama Islam hanya perlu bertemu pegawai kami di cawangan untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung fidyah secara percuma serta membuat pembayaran terus di kaunter,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, di bulan mulia Ramadan ini, Bank Muamalat telah menganjurkan inisiatif tahunannya dengan pelbagai program komuniti seperti enam siri jelajah majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, asnaf dan mualaf yang turut disertai pengamal media dan rewang bubur lambuk di lebih 60 lokasi di seluruh negara.
Bank Muamalat turut menyampaikan bantuan kepada 10 pertubuhan yang terlibat bagi tujuan pengurusan perbelanjaan operasi mereka serta sumbangan duit raya kepada lebih 300 individu dalam memastikan golongan kurang bernasib baik tidak ketinggalan dalam meraikan Ramadan dan menyambut kehadiran Syawal yang bakal menjelang.
“Selain perlu menumpukan kepada operasi harian dan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada para pelanggan, Bank Muamalat akan terus komited melaksanakan program-program seperti ini dalam membina hubungan erat dengan masyarakat dan komuniti setempat seterusnya mewujudkan jaringan yang lebih baik kepada semua pihak,” tambah Khairul. – UTUSAN










