Industri pembuatan perlu percepat penggunaan kobot

Industri pembuatan perlu percepat penggunaan kobot

BANYAK perniagaan di Malaysia masih belum dapat memanfaatkan sepenuhnya Revolusi Perindustrian Kelima (IR 5.0) - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pembuatan di Malaysia dinasihati mempercepatkan penggunaan automasi menerusi penggunaan robot kolaboratif (kobot) demi memaksimumkan pertumbuhan sektor tersebut.

Peneraju global dalam pasaran Kobot, Universal Robots (UR) dalam satu kenyataan berkata, ia ekoran pasaran robotik diramal mencecah AS$273.61 juta menjelang 2027, menjadikan sektor pembuatan kedua terbesar dalam ekonomi Malaysia.

Menurut UR berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi, Fiskal dan Anggaran Hasil 2023, sektor pembuatan Malaysia menunjukkan pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus pada 2022 ketika permintaan global meningkat disertai pertumbuhan industri domestik yang terus mendorong aktiviti pengeluaran.

“Di sebalik pertumbuhan yang begitu kukuh, banyak perniagaan di Malaysia masih belum dapat memanfaatkan sepenuhnya Revolusi Perindustrian Kelima (IR 5.0) untuk merealisasikan potensinya dan memanfaatkan sepenuhnya pasaran robotik yang diramal mencecah AS$273.61 juta (RM1.2 bilion) menjelang 2027.

“Di Malaysia, era baharu pengeluaran IR 5.0 menjanjikan peningkatan kecekapan, produktiviti serta keselamatan yang lebih baik, dengan penawaran produk dan perkhidmatan baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, UR berkata, dalam Belanjawan 2023 yang disemak baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan geran padanan sebanyak RM50 juta untuk menggalakkan automasi dalam sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan automasi dalam industri pembuatan dan perindustrian Malaysia masih ketinggalan dari segi purata global.

“Menurut Persekutuan Robotik Antarabangsa (IFR), ketumpatan robot Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja bukan sahaja berada di bawah purata global, malah ketinggalan daripada negara jiran Asia Tenggara seperti Singapura dan Thailand.

“Laporan terbaharu mendapati ketumpatan robot Malaysia adalah 55 bagi setiap 10,000 pekerja – kira-kira 12 kali lebih rendah berbanding Singapura 670 setiap 10,000 pekerja,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Universal Robots Malaysia, Marvin Ming berkata, memanfaatkan kuasa automasi mampu mengembangkan lagi ekonomi serta memacu sektor pembuatan negara ke arah IR 5.0.

Katanya, automasi boleh meningkatkan kualiti dan konsistensi produk, serta menghasilkan kepuasan dan kesetiaan pelanggan yang lebih tinggi disamping meningkatkan jualan dan hasil perniagaan dalam negara.

“Automasi boleh membantu syarikat mengurangkan pembaziran dan mengoptimumkan penggunaan sumber mereka, dan seterusnya menghasilkan penjimatan kos dan kecekapan yang lebih baik.

“Ini membolehkan syarikat melabur dalam teknologi dan inovasi baharu, yang boleh membantu memacu pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN