PETALING JAYA: Bintai Kinden Corporation Berhad, pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) yang telah diklasifikasikan sebagai penerbit Nota Amalan 17 (PN17) menekan kerajaan negeri Melaka kerana tidak mengambil tindakan bagi menangani pembayaran hutang syarikat daripada projek Universiti Melaka (UNIMEL).
Keadaan itu menyebabkan kegagalan kemudahan pembiayaan Islam sebanyak RM109 juta.
Klasifikasi PN17 dibuat selepas MBSB Bank Berhad (MBSB) mengeluarkan notis penamatan bertarikh 29 Mac lalu kepada Bintai Kinden sebagai penjamin korporat dan anak syarikat milik penuhnya, Optimal Property Management Sdn. Bhd. (OPM).
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, pihaknya menjadi mangsa status PN17 kerana kerajaan Melaka dilihat tidak berkemampuan walaupun beberapa siri mesyuarat telah diadakan bagi mengambil tindakan berkenaan hutang RM49.8 juta kepada OPM oleh Kolej Teknologi Islam Melaka Berhad (KTIMB) untuk pembinaan penginapan kampus pelajar UNIMEL.
“KTIMB telah memberikan kontrak melalui perjanjian konsesi kepada OPM pada awal 2016 bernilai RM121 juta untuk membina penginapan pelajar untuk kampus tersebut.
“Perjanjian konsesi 25 tahun itu terdiri daripada tiga tahun pembinaan dan 22 tahun perkhidmatan penyelenggaraan di mana KTIMB diwajibkan membayar OPM untuk penyelenggaraan penginapan kampus.
“OPM telah mengambil kemudahan pembiayaan Islam bertempoh 17 tahun sebanyak RM109 juta dengan MBSB untuk membiayai sebahagian projek penginapan kampus UNIMEL yang telah siap pada 2019,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menghantar pelbagai peringatan kepada KTIMB serta Ketua Menteri Melaka (Diperbadankan) (CMI Melaka) mengenai perkara itu.
Jelasnya, walaupun tidak dibayar atau pembayaran tidak tetap oleh kedua-dua pihak, Bintai Kinden tetap membayar hutang kepada MBSB sebanyak RM18.6 juta dari Mac 2021 hingga Disember 2022 walaupun hanya mengutip RM3.7 juta daripada KTIMB.
“Bintai Kinden ingin merayu untuk mendapatkan penyelesaian berhubung isu ini demi kepentingan pelajar Unimel kerana kami telah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan penginapan kampus.
“CMI Melaka diwajibkan untuk menambah apa-apa kekurangan dalam pembayaran sebagai sebahagian daripada perjanjian kemudahan pembiayaan dengan MBSB tetapi tambah nilai tidak mencukupi manakala KTIMB yang diperlukan sebagai sebahagian daripada perjanjian konsesi untuk mencagarkan tanah atau hartanah dengan nilai pasaran tidak kurang daripada RM42.5 juta untuk melindungi risiko kredit Bintai Kinden tidak berbuat demikian,” ujarnya.
Bintai Kinden bagaimanapun memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan bahawa perniagaannya yang lain seperti mekanikal dan kejuruteraan serta minyak dan gas berjalan seperti biasa. Syarikat mempunyai jumlah buku pesanan yang belum dibilkan berjumlah RM142.95 juta.
Pada rehat tengah hari, saham Bintai Kinden jatuh 41.67 peratus atau 3.5 sen berbanding penutupan Rabu pada enam sen sesaham. – UTUSAN










