PETALING JAYA: Pinjaman menggunakan cagaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika dilaksanakan, wajar diberikan tanpa faedah atau pada caj perkhidmatan yang minimum untuk membantu pencarum yang memerlukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, sekiranya pihak institusi kewangan bercadang mengenakan faedah, kadar yang dikenakan haruslah minimum serta berkadar tetap.
Katanya, ia dapat mengelak pencarum daripada terperangkap sekiranya Kadar Dasar Semalam (OPR) dinaikkan pada bila-bila masa.
“Cadangan agar pencarum yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran Akaun 2 tersebut wajar dipertimbangkan oleh pihak KWSP, bank dan juga pencarum.
“Ia adalah satu pilihan dapat mengekal dana KWSP dalam jumlah yang tinggi dan dalam masa yang sama membolehkan pencarum yang terdesak mendapat kecairan terutama untuk melunaskan hutang atau membantu perniagaan yang tanpanya boleh menyebabkan peniaga gulung tikar.
“Jika dibandingkan dengan membenarkan pengeluaran Akaun 2, cadangan pinjaman bercagar KWSP ini adalah jalan penyelesaian yang relatif baik,” katanya di sini semalam.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Beliau yang berkata demikian dalam penggulungan usul Belanjawan 2023 memberitahu, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi itu.
Di Ipoh semalam, Perdana Menteri menjelaskan, cadangan itu hanya dibenarkan untuk individu yang terdesak memerlukan wang segera sahaja.
Susulan itu, KWSP memberitahu, pihaknya sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik termasuk mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaannya.
Sementara itu, Fuad berkata, dari segi kepentingan dasar, adalah wajar simpanan KWSP tidak dibenarkan dikeluarkan kerana ia adalah simpanan hari tua untuk jaminan masa hadapan pencarum sendiri.
Menurutnya, simpanan tersebut mungkin bukan saja untuk pencarum malah untuk kebajikan ahli keluarga mereka yang memerlukan pada masa hadapan terutama jika terdapat ahli keluarga lain yang tidak berkemampuan atau kurang upaya.
“Semakin banyak simpanan yang dikeluarkan, semakin mengecil tabungan KWSP dan semakin kurang pulangan dividen bukan saja secara individu malah secara agregat.
“Dana atau tabungan tempatan seperti KWSP, Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang tinggi meyakin pelabur asing untuk menambah pelaburan dalam negara.
“Justeru itu, dana tempatan perlu kekal tinggi untuk menyokong dasar fiskal dan kewangan termasuk membantu kerajaan dalam pembelian sekuriti, pinjaman atau hartanah,” ujarnya. – UTUSAN








