Naikkan had perolehan kerajaan

Naikkan had perolehan kerajaan

NORHAMILA MOHD. DATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang berharap kerajaan menaikkan had perolehan kerajaan untuk kontraktor G1 atau Kelas F daripada RM200,000 kepada RM300,000 dalam pembentangan Bajet 2023.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Perkobf Malaysia Pahang, Norhamila Mohd. Datar berkata, langkah itu selaras peningkatan harga bahan binaan dan buruh, sekali gus membantu kontraktor G1 lebih berdaya saing.

Selain itu katanya, ia perlu dilakukan memandangkan hak kontraktor G1 bagi kerja selenggara jalan dimonopoli oleh kontraktor konsesi.

“Agihan konsep payung pada kontraktor G1 sangat tidak telus dan ada juga konsesi yang melambatkan bayaran serta kadar harga keuntungan yang kecil.

“Diharap perkara ini diambil serius oleh kerajaan dan mengangkat taraf G1 kepada harga maksimum RM300,000 memandangkan harga barang dan upah yang semakin naik serta keuntungan makin mengecil,” katanya di sini semalam.

Mengulas isu monopoli konsesi, Norhamila berkata, seluruh negara mengalami perkara tersebut cumanya di negeri lain tidak banyak konsesi se­perti mana Pahang.

“Di negeri ini ada tujuh konsesi, enam konsesi jalan raya dan satu konsesi cerun. Jadi, memang semua projek dimonopoli oleh konsesi terbabit.

“Syarikat konsesi sepatutnya mengamalkan konsep payung, tapi projek ditawarkan hanya berputar dalam kalangan kontraktor kenalan ataupun kroni sahaja, ia tidak terbuka,” katanya.

Beliau berharap, amalan me­lantik syarikat konsesi ini diteliti semula malah perlu dibawa ke pihak yang berwajib supaya pemberian projek diberi secara telus dan saksama.

“Saya cakap ini kerana kontraktor G1 ketika ini cukup tertekan, bukan sahaja dengan isu konsesi, malah kebaikan harga barang dan lambakan lesen kontraktor Kelas F. Tiga perkara ini cukup menekan kita ketika ini.

“Jika ia tidak diatasi segera oleh kerajaan, tiga perkara ini boleh membunuh kontraktor G1. Sebagai contoh, syarikat konsesi mereka ‘jerung’ yang ditakuti,” katanya

Beliau juga berharap kerajaan memperbanyakkan kerja undian di bawah RM200,000 di setiap sektor antaranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya ketelusan itu ada.

“Menerusi cara ini, barulah kontraktor boleh menampung ekonomi, satu lagi Kementerian Kewangan harus meluluskan di seluruh negara tajuk B28 pengubahsuai mengarahkan PBT sebagai syarat pembinaan swasta atau perumahan diberi keutamaan kepada kontraktor berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Langkah ini perlu bagi mengekang individu yang tidak berkelayakan membuat kerja-kerja penambahan dan pe­ngubahsuaian rumah dan diberi kepada kontraktor berkelayakan,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan juga diharap menghentikan permohonan lesen kontraktor G1 atau kelas F, mengelak lambakan kerana jumlahnya ketika ini sudah pun mele­bihi 40,000 orang di seluruh negara sekali gus berdepan kesukaran mendapatkan projek.

“Lambakan lesen G1 ketika ini ibarat cenda­wan tumbuh selepas hujan, ia seakan tiada kawalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN