Hartalega rugi RM31.1 juta pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Hartalega rugi RM31.1 juta pada suku ketiga

HARTALEGA rugi pada suku ketiga 2022 berikutan kurang permintaan sarung tangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) kerugian selepas cukai sebanyak RM31.1 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022, berikutan harga jualan purata (ASP) dan jumlah jualan yang lebih rendah, di samping kos tenaga dan buruh yang kian meningkat. 

Menurut kenyataanya, prestasi yang lemah tersebut turut didorong oleh persaingan semakin sengit dalam sektor sarung tangan dengan permintaan jualan lebih rendah ekoran inventori sarung tangan berlebihan dan pelarasan stok dalam rantaian bekalan.

Bagi suku yang sama, kumpulan turut merekodkan hasil sebanyak RM461.8 juta. 

Sementara itu, Hartalega mencatatkan untung selepas cukai berjumlah RM89.2 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2022. 

Untung sebelum cukai pula berjumlah RM140.7 juta, berasaskan hasil sebanyak RM1.9 bilion. 

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Berhad, Kuan Mun Leong berkata,  keadaan pasaran ternyata sukar kerana sektor sarung tangan terus terjejas oleh ASP semasa yang lebih rendah kerana bekalan global berlebihan. 

Katanya, situasi tersebut bertambah buruk akibat kos tenaga lebih tinggi bagi gas asli dan tarif elektrik, serta pelaksanaan dasar upah minimum baharu yang menghimpit margin operasi syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan.

“Memandangkan persekitaran yang mencabar ini, kami telah mengambil langkah proaktif untuk menjamin pengurusan kos yang berhemat, meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan produktiviti menerusi inisiatif pelaksanaan automasi. 

“Kami akan terus menyelaraskan rancangan perkembangan Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) 1.5 kami dengan keadaan bekalan dan permintaan semasa,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata, kumpulan akan mengambil pendekatan jangka panjang dan yakin dengan prospek sektor ini dalam jangka panjang. 

“Apabila dinamik pasaran mencapai keseimbangan, permintaan global selepas pandemik dijangka akan meningkat selari dengan penggunaan sarung tangan yang meningkat.

“Ini terutamanya di pasaran sedang membangun yang mempunyai tahap penggunaan sarung tangan yang masih rendah serta kesedaran yang lebih tinggi tentang kebersihan dan kesihatan dalam kalangan pengamal penjagaan kesihatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya