Prasarana belanja RM2.8 billion tambah baik bas, tren

Prasarana belanja RM2.8 billion tambah baik bas, tren

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) akan membelanjakan RM2.8 billion dalam usaha menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam syarikat berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, ia merangkumi penambahbaikan tren sedia ada terma­suk alat gantian dan menambah bilangan tren baharu.

Menurut beliau, perbelanjaan berkenaan merupakan peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

“Kami akan membelanjakan RM2.8 billion untuk menambah baik tren, menganti alat-alat ganti secepat mungkin dan menambah tren yang tidak cukup buat masa ini.

“Tren laluan Kelana Jaya sepatutnya berjalan setiap tiga minit tetapi buat masa ini kami jalan lima minit tetapi dengan adanya tren baharu kita akan dapat percepatkannya meskipun terdapat tren yang rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Jendela Fikir: Membina Pengangkutan Awam Bersama’ terbitan Bernama Radio yang disiarkan, semalam.

Mengulas lanjut, Azharuddin turut memaklumkan Prasarana akan menambah jumlah bas mereka bagi tahun ini dan 2024 seiring dengan transformasi besar memberi perkhidmatan terbaik.

“Tahun kepas kita beroperasi dengan 880 buah bas dan kita akan tingkatkan kepada 1,183 buah bas pada suku pertama tahun ini dan kepada 1,400 buah bas pada tahun hadapan,” katanya.

Katanya, Prasarana juga tidak terkecuali dari terkesan dengan rantaian bekalan di pe­ringkat global akibat pandemik Covid-19 di mana syarikat itu lewat mene­rima alat ganti yang diperlukan bagi tren laluan Kelana Jaya, yang sering mengalami gangguan perkhidmatan.

“Buat masa ini, isu yang kami hadapi adalah perkhidmatan perlu dinaik taraf dan bekalan alat gantian yang terjejas.

“Pesanan yang kami buat pada awal tahun lalu tidak dapat dihantar pada masa yang ditetapkan. Kami seharusnya menerima alat ganti yang dipesan untuk tren pada Ogos 2022 namun ia hanya akan diterima pada Januari dan Mei tahun ini,” katanya.

Azharuddin berkata, jumlah purata harian penumpang Prasarana adalah seramai 720,000 orang dan daripada jumlah itu, 520,000 adalah penumpang perkhidmatan rel manakala hampir 200,000 adalah penum­pang bas.

“Tapi ini masih kurang kalau kita bandingkan dengan zaman sebelum pandemik di mana jumlah penumpang harian adalah sangat tinggi seramai 1.2 juta penumpang.

“Dengan penambahbaikan yang kami usahakan sama ada bagi perkhidmatan rel atau bas, kami menjangkakan dapat meningkatkan jumlah penumpang seramai 1.1 hingga 1.2 juta orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN