Malaysia Airports raih 6.8 juta trafik penumpang - Utusan Malaysia

Malaysia Airports raih 6.8 juta trafik penumpang

TRAFIK penumpang antarabangsa di Malaysia Airports meningkat lebih 50 peratus selepas pembukaan semula sempadan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports mencatatkan pengerakan penumpang bulanan tertinggi pada Disember 2022 untuk operasi di Malaysia dengan 6.8 juta penumpang.

Menurut kenyataannya, musim cuti akhir tahun telah menyumbang kepada peningkatan ketara sebanyak 31 peratus daripada bulan sebelumnya dan membolehkan kumpulan mencapai 50 peratus daripada tahap 2019 untuk operasi Malaysia.

Katanya, daripada 6.8 juta penumpang tersebut, 2.9 juta adalah penumpang antarabangsa, yang tertinggi dicatatkan setakat ini sejak pembukaan semula sempadan pada April dan 3.9 juta adalah penumpang domestik, meningkat 33 peratus daripada November 2022.

“Antara lima lapangan terbang antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan penumpang tertinggi masing-masing sebanyak 51 peratus dan 39 peratus.

“Pertumbuhan trafik penumpang Malaysia adalah sejajar dengan peningkatan 10 peratus yang dicatatkan bagi jumlah pergerakan pesawat pada Disember pada 56,645 berbanding November,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Malaysia Airports berkata, bagi sepanjang tahun Januari hingga Disember 2022, pengendali lapangan terbang itu merekodkan sejumlah 52.7 juta penumpang untuk rangkaian lapangan terbang tempatannya.

Jelasnya, momentum pemulihan pergerakan penumpang domestik berterusan pada 2022 selepas penarikan balik larangan perjalanan antara negeri pada 11 Oktober 2021, mencatatkan 36.2 juta penumpang bagi tahun ini, mencecah 69.6 peratus daripada paras 2019.

“Pergerakan penumpang antarabangsa mencatatkan sejumlah 16.5 juta penumpang hasil daripada 17 syarikat penerbangan menyambung semula perkhidmatan ke 32 bandar dengan trafik tertinggi ke destinasi di Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Vietnam dan India.

“Pertumbuhan tahunan dalam pergerakan penumpang juga disokong oleh pengenalan laluan baharu oleh 27 syarikat penerbangan ke 38 bandar raya.

“Antara bandar dengan pertumbuhan tertinggi pada 2022 berbanding 2021 ialah Denpasar-Bali, Lahore, Ujung Padang, Male, Brisbane, Bangkok, Perth, Phuket, Batam dan Bangalore,” ujarnya.

Tambahnya, secara keseluruhan, 59 syarikat penerbangan mengendalikan penerbangan ke 84 destinasi antarabangsa dan 35 domestik tahun lepas, berbanding 48 syarikat penerbangan kepada 51 penerbangan antarabangsa dan 32 domestik pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, aset Malaysia Airports di Türkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA) merekodkan 2.7 juta penumpang pada Disember, menyumbang kepada sejumlah 31.2 juta penumpang untuk 2022, mencecah 86.7 peratus daripada paras tahunan 2019.

“Jumlah pergerakan penumpang antarabangsa pada 2022 melepasi paras tahunan 2019 dengan pertumbuhan 10.4 peratus berbanding 2019, manakala pergerakan penumpang domestik merekodkan 15.5 juta penumpang, mencecah 71.2 peratus daripada paras tahunan 2019.

Pergerakan pesawat antarabangsa SGIA mencatatkan pertumbuhan 48.1 peratus berbanding 2021, manakala pergerakan pesawat domestik mencatatkan sedikit penurunan apabila syarikat penerbangan menyusun semula pengembangan rangkaian mereka ke sektor antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya