Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu ini - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu ini

PASARAN saham ditutup negatif pada Jumaat.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka akan menunjukkan peningkatan yang berterusan didorong oleh prospek pembukaan kembali ekonomi China dan sentimen positif pentadbiran kerajaan perpaduan, menurut penganalisis. 

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka akan mencatatkan peningkatan sekitar 1,500 hingga 1,510 mata pada minggu ini. 

“Mata wang tempatan pula akan kekal mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekitar RM4.45 ke RM4.40 mengambil kira kadar inflasi di AS yang telah menurun dan bayangan oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS yang tidak akan menaikkan kadar faedah dengan begitu drastik pada tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd. Rashid berkata, keyakinan pelabur terhadap Malaysia dijangka lebih baik bagi tahun ini dan Malaysia dilihat akan menjadi destinasi pelaburan utama di Asia bagi tahun 2023.

Ujarnya, pemulihan ringgit dan Bursa apabila melangkah masuk tahun baharu 2023 merupakan bukti petanda keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Justeru, saya percaya pada hujung minggu pertama tahun ini, indeks FBM KLCI diunjurkan berada pada 1,498 hingga 1,510 mata didorong oleh sokongan dan penyertaan pelabur runcit yang dapat menyokong kecairan pasaran. 

“Walaupun ekonomi global dijangkakan berdepan dengan kemelesetan tetapi masih terdapat pertumbuhan positif,” katanya. 

Bagi ringgit pula, beliau berkata, ringgit dijangkakan lebih kukuh pada hujung minggu ini dan berada dalam RM4.30 hingga RM4.40, selaras dengan unjuran kegawatan mata wang serantau yang berada di penghujungnya dan volatiliti pasaran kewangan global yang semakin baik.

Sementara itu, jelasnya, susulan kenaikan kadar faedah Fed yang diunjurkan meningkat sehingga melebihi 5.0 peratus bagi tahun 2023, Malaysia tidak terkecuali dan dijangkakan meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata kepada 3.25 peratus pada tahun ini. 

“Itu pastinya akan memberi tekanan kepada peminjam tetapi ia juga dapat mengurangkan tekanan kepada inflasi dan memberi kestabilan kepada harga barang.  

“Dengan ini, ekonomi domestik dijangka meneruskan pemulihannya pada 2023 dengan adanya sokongan permintaan dalam negeri,  walaupun pada kadar yang perlahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN