PETALING JAYA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa pihak tertentu supaya berhenti memberikan reaksi keterlaluan terhadap berita bahawa China akan membenarkan rakyatnya meneruskan semula perjalanan keluar dari negara itu.
Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, pihaknya beri kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan ketibaan rakyat China sama seperti yang mereka lakukan dengan pengembara lain dari seluruh dunia.
“Gesaan untuk menutup sempadan negara kepada pelancong China pada peringkat awal ini adalah tidak rasional dan tidak bertanggungjawab.
“Sejak pembukaan semula sempadan negara pada awal 2022, Malaysia sudah menunjukkan kemajuan yang stabil dan positif ke arah pemulihan dan sebarang reaksi mengejut untuk memperkenalkan sekatan tanpa perancangan yang betul berisiko merencatkan semua yang sudah kita capai.
“Keputusan kerajaan harus mengimbangi kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan reputasi Malaysia sebagai destinasi selamat serta kesan ekonominya terhadap dasar dalam perkara ini.
“Ia juga mesti menanda aras dengan amalan global semasa sementara mempertimbangkan kapasiti dan batasannya sendiri daripada tunduk kepada kumpulan pelobi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, data daripada Tourism Malaysia menunjukkan bahawa 3.1 juta pelancong China melawat Malaysia pada 2019, menjadikannya pasaran sumber ketiga terbesar negara untuk ketibaan antarabangsa.
Jelasnya, anggaran awal menunjukkan bahawa 1.2 juta rakyat China akan datang ke Malaysia pada tahun 2023 yang dijangka menjana kira-kira RM3.6 bilion dalam penerimaan pelancongan.
“Perlu diingat bahawa pengembara China tidak akan tiba semuanya secara serentak, yang membolehkan kerajaan untuk memantau dan mengurus keadaan semasa mengikut perkembangan.
“Untuk tujuan itu, persatuan pelancongan akan memberikan maklum balas untuk membantu kerajaan menangani dan menguruskan proses ini semasa ia berlaku,” katanya. – UTUSAN










