Raya Airways tambah pesawat kargo

Raya Airways tambah pesawat kargo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raya Airways Sdn. Bhd. (Raya Airways) yang bersedia untuk berkembang di rantau Asia Pasifik, menambah pesawat kargo Boeing 767-200 daripada syarikat pemajak berpangkalan di Amerika Syarikat, Air Transport Services Group Inc. (ATSG).

Pesawat yang baru dipajakkan itu akan menawarkan lebih daripada 40 tan kargo kapasiti muatan tambahan kepada Raya Airways bagi setiap penerbangan, sekali gus membolehkannya mengembangkan portfolio pelanggan, jejak rangkaian dan kapasiti kargo.

Pengarah Urusan Kumpulan Raya Airways, Mohamad Najib Ishak berkata, ramalan pasaran global Boeing terkini mengira bahawa pesawat kargo dunia akan memerlukan 2,800 pengeluaran tambahan baharu dan pertukaran pesawat kargo bagi mengimbangi pertumbuhan yang dijangka dan untuk program penggantian pesawat sehingga 2041.

Kata beliau, syarikat-syarikat kargo udara di Asia akan me­nerajui permintaan untuk lif kargo udara khusus itu, kerana ia diramalkan meningkat lebih daripada 4 peratus setiap tahun dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Memandangkan kami pernah bekerjasama dengan ATSG sebelum ini, kami yakin bahawa mereka dapat menyediakan keupayaan kapasiti dan penyelenggaraan khusus untuk menyokong rancangan perkembangan kami,” katanya dalam kenyataan.

Penyelidikan Boeing meramalkan bahawa penghantaran pesawat kargo di rantau Asia akan meningkat sebanyak 38 peratus dalam tempoh tersebut, termasuk pesawat yang baru dihantar dari kilang atau dihantar selepas penukaran daripada pesawat penumpang kepada pesawat pengangkut.

Raya Airways kini meliputi hab serantau seperti China (termasuk Hong Kong), Indonesia, Singapura dan Vietnam serta pusat komersial utama di Malaysia Timur.

“Dengan penambahan pesawat, prospek pembukaan laluan dan pelanggan baharu akan dipertingkatkan lagi,” katanya.

Pada awal tahun ini, Raya Airways telah memasuki Nanning, China dan Ho Chi Minh, Vietnam sejajar dengan hala tuju strategiknya untuk mengukuhkan rangkaian. Syarikat tersebut merancang untuk terus menerokai pasaran baharu di rantau Asia Pasifik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN