PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) telah menghantar sebanyak 16 kakitangannya ke Hangzhou, China bagi menyertai latihan selama enam bulan mengenai kenderaan tenaga baharu (NEV).
Menurut Proton, mereka yang berlepas pada 10 Disember lalu, akan ditempatkan di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo dan dilatih dalam pelbagai bidang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan, jualan dan perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu yang bakal diperkenalkan secara beransur-ansur.
Jelasnya, kumpulan itu merupakan kakitangan pertama yang menjalani latihan NEV, terdiri daripada pekerja industri berpengalaman dan jurutera muda yang lulus daripada Program Bakat Muda syarikat.
“Lebih ramai kakitangan akan dihantar pada masa hadapan memandangkan Proton memerlukan pengetahuan teknikal daripada Geely untuk membangunkan rangkaian NEVnya sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, apabila Proton dan Geely mula bekerjasama pada 2017, salah satu matlamat perkongsian itu adalah untuk Proton mempercepatkan jadual pembangunan modelnya dengan menggabungkan teknologi yang sedia ada daripada Geely.
Kata beliau, matlamat itu berjaya dicapai dan kini, Proton memanfaatkan pengalaman global Kumpulan dalam NEV untuk memberi rangsangan kepada jadual masa pembangunan model sendiri.
“Perancangan awal kami adalah memulakan program ini lebih awal tetapi ia telah ditangguhkan akibat pandemik
Covid-19.
“Walau bagaimanapun, dengan kelonggaran terhadap sekatan perjalanan baru-baru ini, Proton kini boleh meraih manfaat sebagai salah satu jenama automotif kolektif yang paling pelbagai dan berfikiran kehadapan,” katanya.
Selain melatih pekerja dalam pelbagai aspek NEV, latihan kerja di China akan membantu dalam menentukan spesifikasi akhir untuk produk seperti smart #1, EV pertama yang dijual oleh anak syarikat NEV Proton, PRO-NET yang akan tiba pada suku keempat 2023, jelas Proton.
Program latihan itu juga akan membantu mengukuhkan usaha kerjasama apabila kakitangan Proton terlibat dalam pelbagai bidang lebih awal dalam proses pembangunan untuk memperhalusi tawaran yang akan datang demi mencapai jangkaan pasaran tempatan.
“Matlamat utama bagaimanapun adalah untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran baharu yang akan membantu mengemudi hala tuju masa depan Syarikat untuk tahun-tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN










