Inflasi November kekal tinggi 4.0 peratus - Utusan Malaysia

Inflasi November kekal tinggi 4.0 peratus

PRODUK makanan kekal antara penyumbang tertinggi kepada inflasi neagra. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengguna bagi November 2022 kekal pada 4.0 peratus dengan indeks inflasi kumpulan makanan kekal menjadi penyumbang utama apabila meningkat sebanyak 7.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan.

Keadaan ini dapat dilihat terutama dalam purata harga ayam standard di peringkat negara pada bulan tersebut meningkat kepada RM10.36 sekilogram berbanding RM10.07 pada Oktober 2022, malah menunjukkan peningkatan ketara daripada November 2021 iaitu hanya RM9.55.

Purata harga di Semenanjung Malaysia pula adalah RM9.83 sekilogram, manakala Sabah (RM12.14) dan Sarawak (RM11.88). 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kesemua subkumpulan makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan antara 1.6 peratus hingga 8.9 peratus dan antara yang mencatatkan peningkatan tertinggi adalah subkumpulan susu, keju dan telur yang meningkat 8.9 peratus. 

Ujarnya, ini diikuti oleh daging sebanyak 8.2 peratus serta beras, roti dan bijiran lain (7.5 peratus). 

“Buah-buahan dan sayur-sayuran pula masing-masing meningkat 4.1 peratus dan 3.6 peratus manakala subkumpulan minyak dan lemak menyederhana kepada 1.6 peratus kesan daripada penetapan harga siling baharu minyak masak kemasan botol dua kilogram (kg), 3kg dan 5kg bagi tempoh 8 November hingga 7 Disember 2022.

“Perbandingan bulan ke bulan bagi harga sayur-sayuran mencatatkan kenaikan 1.6 peratus berbanding negatif 1.7 peratus pada bulan sebelumnya, sebahagiannya disumbangkan oleh kekurangan bekalan dan faktor cuaca yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, inflasi bagi tempoh Januari hingga November 2022 meningkat 3.4 peratus berbanding 2.3 peratus bagi tempoh sama tahun lalu, didorong terutamanya oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.6 peratus), pengangkutan (4.7 peratus) dan restoran dan hotel (4.7 peratus).

“Kadar inflasi bulan ke bulan pada November 2022 meningkat 0.3 peratus berbanding 0.2 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2022. 

“Bagi inflasi di peringkat negeri pula, terdapat empat negeri yang mencatatkan inflasi melebihi paras nasional 4.0 peratus iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.8 peratus), Sarawak (4.7 peratus) dan Johor (4.2 peratus). 

“Sementara itu, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.9 peratus daripada 124.7 pada November 2021 kepada 129.6 pada bulan dikaji,” ujarnya.

Mengulas mengenai inflasi negara lain, Mohd. Uzir berkata, kadar inflasi Zon Euro telah mereda kepada 10 peratus pada November 2022 daripada 10.6 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Peningkatan perlahan ini didorong oleh inflasi tenaga mereda kepada 34.9 peratus berbanding 41.5 peratus pada Oktober dan perkhidmatan pada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus pada bulan sebelumnya.

“Kadar inflasi di Amerika Syarikat mereda kepada 7.1 peratus pada November berbanding 7.7 peratus pada Oktober. 

“Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (8.0 peratus), Thailand (5.6 peratus), Indonesia (5.4 peratus) dan Republik Korea (5.0 peratus),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN