Dividen KWSP dijangka kekal kompetitif - Utusan Malaysia

Dividen KWSP dijangka kekal kompetitif

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka masih kompetitif dan berdaya saing walaupun prestasi pulangan pelaburannya mungkin bercampur-campur.

Ia turut mengambil kira prestasi Bursa Malaysia di mana KWSP mempunyai pelbagai pegangan saham secara langsung.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi KWSP baru-baru ini sama dengan institusi pelaburan lain yang menghadapi cabaran untuk mengekalkan pulangan pelaburan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Jika dilihat, indeks bursa telah turun daripada paras tertinggi iaitu 1,603 mata pada April kepada paras terendah 1,378 mata pada Oktober lalu berikutan ketidakstabilan politik sehinggalah kini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Indeks kembali mendaki semula dan selari dengan kembalinya kekuatan ringgit Malaysia berbanding dengan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, kesan pandemik Covid-19 masih dirasakan di semua sektor ekonomi dan banyak yang masih belum pulih sepenuhnya, misalnya sektor pelancongan dan runcit.

“Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) juga memberi tekanan kepada kadar KWSP sendiri di mana 1.0 peratus telah dinaikkan dalam tempoh kurang daripada enam bulan dan ia juga boleh diterjemahkan sebagai tambahan dividen kepada pencarum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, KWSP mengumumkan pelaburan kasar KWSP bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022 susut sebanyak 18 peratus atau RM8.71 bilion kepada RM39.31 bilion berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 pula berjumlah RM12.32 bilion, menurun sebanyak RM1.65 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.97 bilion pada suku ketiga 2021.

Aimi Zulhazmi menjelaskan, prestasi KWSP itu memang sudah dijangka berdasarkan suasana keseluruhan pasaran modal dan ekonomi pada tahun ini.

Katanya, harapan pemulihan ekonomi dunia selepas berakhirnya pandemik Covid-19 di seluruh dunia telah direncatkan dengan pelbagai krisis seperti perang Russia-Ukraine yang telah melonjakkan harga minyak, sumber tenaga serta komoditi utama dunia seperti gandum dan jagung.

Ujarnya, kenaikan kadar inflasi itu telah menyebabkan negara-negara maju menaikkan kadar faedah yang memberi kesan kepada dunia dan memaksa bank-bank pusat dunia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) untuk turut menaikkan kadar faedah.

“Aliran pasaran modal dengan pelbagai pelaburan beralih ke AS menyebabkan penurunan nilai mata wang asing berbanding dolar AS.

“Faktor-faktor makroekonomi itu secara langsung memberi kesan kepada perolehan pelaburan KWSP.

“Dengan tempoh kurang sebulan berakhirnya 2022, tidak banyak perubahan yang boleh diharapkan walaupun terdapat perubahan angin politik selepas PRU15 selesai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya