KOTA KINABALU: Sabah berjaya merekodkan pelaburan sebanyak RM7.6 bilion dalam sektor pembuatan tahun lalu, meningkat hampir 208 peratus berbanding 2024, sekali gus membuktikan daya tahan ekonomi negeri itu kekal kukuh walaupun berdepan cabaran global dan domestik.
Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata pencapaian terbabit mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing serta berpotensi tinggi di rantau ini.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini, Sabah telah memperlihatkan daya tahan ekonomi yang kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran, baik di peringkat domestik mahupun global.
“Buktinya, pada tahun lalu Sabah berjaya merekodkan sebanyak RM7.6 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, iaitu peningkatan hampir 208 peratus berbanding tahun 2024,” katanya
ketika membacakan teks ucapan dasar kerajaan bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 bertempat di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Kerajaan negeri katanya, komited melonjakkan prestasi ekonomi melalui pendekatan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan, selain memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta pengukuhan infrastruktur.
Katanya, Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030 dilancarkan sebagai kerangka induk pembangunan negeri dengan mengekalkan tiga teras utama iaitu sektor utama pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Pelan ini turut diperkukuhkan dengan penekanan terhadap pembangunan ekonomi biru, pendigitalan dan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Selain itu, katanya di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh sama, sebanyak 1,173 projek telah dirancang, termasuk 933 projek baharu, dengan jumlah siling peruntukan sebanyak RM12.024 bilion, meningkat 141.62 peratus berbanding RMK-12.
Katanya, pembangunan infrastruktur dan utiliti terus menjadi keutamaan, termasuk pembinaan serta penaiktarafan jalan raya dan pelaksanaan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar bagi memperkukuh jaringan pengangkutan serta merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar.
Dalam sektor bekalan air, Musa berkata kerajaan negeri akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat, memperluas liputan bekalan luar bandar serta mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil menerusi pelaksanaan Program Non-Revenue Water (NRW) di 12 daerah.
Pada masa sama, katanya pengurusan air sisa kumbahan akan dipertingkat dengan penggunaan teknologi geospatial dan sistem ‘in-vessel composting’ bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam terpelihara.
Bagi sektor tenaga pula, Musa berkata kestabilan bekalan elektrik akan diperkukuh melalui Pelan Pembekalan Elektrik Jangka Panjang yang memberi tumpuan kepada kepelbagaian sumber tenaga termasuk tenaga boleh baharu, gas asli serta penggunaan teknologi penyimpanan tenaga.
Selain itu, katanya kerajaan negeri turut memberi perhatian serius terhadap risiko bencana seperti banjir dan tanah runtuh dengan memperhebat pelaksanaan rancangan tebatan banjir, sistem amaran awal serta usaha pemulihan cerun berisiko. – UTUSAN











