BALIK PULAU: Tidak wujud ‘kem’ berasingan dalam PKR Cabang Balik Pulau ketika ini kerana semua ahli jawatankuasa (AJK) cabang yang telah dilantik diberikan tanggungjawab yang jelas dalam struktur biro.
Ketua Cabang PKR Balik Pulau, Datuk Mohd. Tuah Ismail berkata, dalam hal ini, apa yang beliau lakukan ialah melibatkan semua AJK sebagai ketua atau anggota biro.
“Jadi, masing-masing ada tugas dan bergerak bersama. Tidak timbul soal dipinggirkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Tuah pada pemilihan PKR tahun lepas berjaya menewaskan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau ketika ini, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai Ketua Cabang Balik Pulau.
Bagaimanapun, ‘kem’ Mohd. Tuah pula tewas dalam pemilihan AJK cabang kepada ‘kem’ yang menyokong Muhammad Bakhtiar sekali gus menimbulkan persoalan pada peringkat awal bagaimana organisasi itu boleh berfungsi dengan baik kerana ketua dan AJK cabangnya dilihat seperti ‘tidak sehaluan’.
Dalam pada itu, Mohd. Tuah berkata, PKR Cabang Balik Pulau kini sedang memperkemas gerak kerja organisasi dengan memberi fokus sepenuhnya kepada pengukuhan jentera parti bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.
Beliau berkata, fokus utama ketika ini adalah memperkukuh organisasi serta membuat persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tanpa terjejas dengan sebarang isu dalaman.
“Setakat ini, kita bergerak seperti biasa. Kita tidak mahu beri alasan, sebaliknya, kita fokus kepada gerak kerja dan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang,” ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong itu.
Tambahnya, kekuatan cabang bukan terletak kepada individu semata-mata, sebaliknya digerakkan secara kolektif oleh 14 biro yang merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, kebajikan, wanita, belia, guaman dan orang kurang upaya (OKU).
“Kita ada kira-kira 6,229 anggota dan kesemuanya digerakkan melalui biro. Ini penting supaya setiap ahli ada peranan dan tidak terpinggir,” katanya. – UTUSAN










