GOPENG: Pemain industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara pihak yang akan dilibatkan dalam jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan negeri, bagi menangani impak krisis global terhadap ekonomi rakyat di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penglibatan pihak berkenaan ditentukan mengikut keperluan dan disesuaikan dengan agenda serta isu yang dibincangkan dalam setiap mesyuarat.
Katanya, Jawatankuasa Khas Impak Krisis Negeri Perak yang diwujudkan itu akan dipengerusikan beliau, manakala Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis Negeri Perak pula dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
“Kedua-dua jawatankuasa ini mempunyai fungsi berbeza namun matlamatnya adalah sama.
“Bagi jawatankuasa yang dipengerusikan saya, ia akan menumpukan kepada perbincangan berkaitan kesan konflik dan krisis global terhadap ekonomi negeri dan rakyat secara keseluruhan.
“Manakala jawatankuasa dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pula akan melibatkan jabatan dan agensi pelaksana di bawahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Gopeng Avante oleh Kumpulan Syarikat Team Keris Berhad (TKB), di Bandar Seri Raia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kedua-dua jawatankuasa itu mempunyai keanggotaan tetap terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, namun turut melibatkan pihak luar mengikut keperluan semasa.
“Sekiranya mesyuarat melibatkan sektor perumahan, kita akan jemput pihak berkaitan seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).
“Jika berkaitan bekalan makanan dan bantuan, penglibatan pihak berkaitan diperlukan seperti Yayasan Bina Upaya (YBU).
“Bagi inisiatif jualan harga murah pula, kita akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), YBU dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.
Pada 22 April lalu, Saarani ketika penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, kerajaan negeri menubuhkan dua jawatankuasa khas untuk melaksanakan pelan mitigasi kesan konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga dunia.
Menurut beliau, peranan khusus kedua-dua jawatankuasa itu akan diperincikan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Jawatankuasa ini akan disusuli dengan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi dan intervensi secara berfasa untuk menangani kesan perang di Asia Barat,” katanya. – UTUSAN










