PETALING JAYA: Untung bersih AMMB Holdings Berhad (Ambank) meningkat 35.6 peratus kepada RM435.40 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (S2TK2023) berbanding RM321.04 juta pada tahun lalu.
Menurut Ambank dalam satu kenyataan, keuntungan itu didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi serta pengembangan margin faedah bersih.
Pendapatan Ambank bagi suku tersebut turut meningkat kepada RM1.18 bilion daripada RM1.12 bilion pada tahun lalu.
Bagi kumulatif enam bulan, Ambank mencatatkan untung bersih lebih tinggi sebanyak RM854.60 juta berbanding RM707.64 juta berdasarkan hasil RM2.35 bilion berbanding RM2.36 juta tahun lepas.
“Pendapatan faedah bersih bagi tempoh itu meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun sekali gus meningkatkan margin faedah bersih kepada 2.17 peratus.
“Kumpulan merekodkan caj penjejasan yang lebih rendah sebanyak RM266.9 juta bagi tempoh tersebut.
“Ia termasuk kemerosotan RM116 juta bagi jenama Kunia, perhubungan ejen dan Aset AmGeneral Insurance Berhad yang lain, berbanding RM377.1 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.
Pendapatan bukan faedah pula menyusut 24.5 peratus disebabkan oleh pelupusan AmGeneral dan pendapatan yuran yang lebih rendah daripada perbankan pelaburan dan pengurusan kekayaan.
Bagi tempoh tersebut, Kumpulan merekodkan kerugian pelupusan sekali sebanyak RM49.7 juta selepas ditolak aset bersih yang dilupuskan termasuk muhibah, penjejasan aset tidak ketara AmGeneral dan perbelanjaan urus niaga.
Kumpulan telah menerima wang tunai RM286.9 juta yang meningkatkan ekuiti biasa Tahap-1 sebanyak 0.25 peratus dan juga mengekalkan kepentingan ekuiti dalam perniagaan gabungan AmGeneral dan Liberty Mutual Insurance Berhad bernilai RM958.2 juta.
Perbelanjaan keseluruhan Kumpulan meningkat 3.9 peratus tahun ke tahun kepada RM1.04 juta dengan kos kepada pendapatan lebih tinggi pada 44.6 peratus berbanding 42.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum peruntukan Kumpulan sebanyak RM1.29 juta telah dicapai manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) meningkat 20.8 peratus tahun ke tahun kepada RM854.6 juta.
Ambank turut melaporkan pertumbuhan merentasi segmen perniagaannya, diwakili peningkatan 3.6 peratus dalam pinjaman kasar dan pembiayaan kepada RM124.4 bilion.
Deposit pelanggan berjumlah RM121 bilion dengan peningkatan 2.1 peratus dalam deposit manakala akaun simpanan akaun semasa turun 7.6 peratus kepada RM3.98 bilion, berikutan pengurangan dalam perbankan borong.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, keputusan itu mencerminkan usaha mereka dalam mengukuhkan pegangan pasaran sambil menguruskan aset berkualiti.
“Walaupun menghadapi masalah, kami dapat mencatatkan keputusan yang baik kerana asas kami yang kukuh.
“Pembangunan bank itu didorong oleh aktiviti ekonomi yang kukuh disertai dengan kemasukan pelaburan asing dan permintaan domestik serta asing yang lebih kukuh.
“Kami meramalkan faktor-faktor itu menyokong momentum pertumbuhan ekonomi kami dengan baik sehingga 2023,” katanya. – UTUSAN










