PETALING JAYA: MARC Ratings mengesahkan penarafan AA-IS bagi program murabahah sukuk MMC Corporation Bhd. bernilai RM2.5 bilion dengan prospek yang stabil.
Dalam kenyataan, agensi penarafan itu berkata, jumlah terkumpul di bawah program itu berjumlah RM2.1 bilion setakat 31 Oktober lalu.
“Ia dipacu kekuatan daya saing MMC yang ketara dan telah lama wujud melalui anak syarikat dan syarikat bersekutu dalam bahagian pelabuhan dan logistik, kejuruteraan dan tenaga serta utiliti yang telah diterjemahkan kepada keupayaan membayar dividen yang kukuh.
“Faktor penyederhanaan utama ialah kedudukan leveraj yang tinggi terutamanya daripada terbitan instrumen hibrid bernilai RM2.94 bilion sebagai sebahagian daripada usaha penswastaan yang disiapkan pada Disember 2021,” katanya dalam kenyataan.
Agensi itu berkata, untuk separuh pertama 2022, pelabuhan MMC secara keseluruhan merekodkan sebanyak 17.9 juta tan berat muatan (FWT) kargo konvensional, sebahagiannya mengimbangi penurunan dalam volum pemprosesan kontena kepada 7.9 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) (1H2021: 17.5 juta FWT; 8.5 juta TEU).
“Volum pemprosesan kontena terjejas oleh langkah ketat berkaitan pandemik China yang menyebabkan gangguan dalam jadual.
“Bagi bahagian kejuruteraannya, buku pesanan pembinaan tertunggak berjumlah RM581 juta pada akhir Jun 2022 kerana projek utamanya, Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) Laluan 2 dan Pembetungan Langat hampir selesai,” ujarnya.
MARC Ratings menjangkakan MMC akan menambah buku pesanannya berdasarkan keupayaan kumpulan yang ditunjukkan dalam melaksanakan projek infrastruktur utama di negara ini.
Sebagai tambahan kepada kontrak yang ditender bernilai RM2.5 bilion, MMC juga baru-baru ini menyertai tender bagi projek KVMRT Laluan 3.
MARC berkata, MMC terus mendapat manfaat daripada prestasi mantap syarikat bersekutu tenaga dan utilitinya iaitu Malakoff Corporation Bhd. dan Gas Malaysia Bhd.
Jelasnya, Malakoff mempunyai kapasiti penjanaan berkesan sebanyak 5,836MW di Malaysia atau kira-kira 22 peratus daripada jumlah penjanaan di Semenanjung, yang terdiri daripada enam loji janakuasa melalui lima anak syarikat dan 40 peratus milik syarikat bersekutu.
“Gas Malaysia pula ialah sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang anak syarikatnya memiliki, membangun, mengendalikan dan menyelenggara saluran paip pengedaran untuk penghantaran gas di bawah lesen 20 tahun berakhir Januari 2040,” katanya.
Di syarikat induk, hasil terdiri daripada penghutang pembinaan dan dividen.
Penghutang pembinaan merosot daripada RM1.4 bilion kepada RM878.5 juta antara 2018 dan 2021 kerana projek utama hampir siap.
Sementara itu, dividen meningkat dua kali ganda daripada RM294 juta kepada RM647.5 juta dalam tempoh sama, disokong peningkatan mendadak dalam sumbangan daripada bahagian kejuruteraan dan bahagian pelabuhan dan logistik.
Jumlah pinjaman di syarikat induk merosot sedikit kepada RM2.7 bilion pada akhir 2021 berbanding RM2.8 bilion pada akhir 2020, tetapi secara keseluruhannya telah menurun dengan ketara daripada RM3.6 bilion pada akhir 2018.
Selaras dengan penurunan itu, kos kewangan telah menurun dengan ketara kepada RM151.4 juta daripada RM195 juta.
Daripada jumlah pinjaman itu, pinjaman jangka pendek yang matang terdiri daripada pinjaman berjangka RM55 juta dan sukuk RM100 juta yang dijangka ditebus syarikat apabila ia matang pada April 2023. – UTUSAN










