Bellingham bawa England ke separuh akhir

Bellingham bawa England ke separuh akhir

JUDE Bellingham meraikan kemaraan England ke separuh akhir piala dunia selepas meledak dua gol ketika aksi suku akhir menentang Norway di Miami, awal pagi tadi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Jude Bellingham sekali lagi membuktikan statusnya sebagai nadi England apabila meledak dua gol untuk membawa Three Lions bangkit menewaskan Norway 2-1 selepas masa tambahan sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Dunia, awal pagi tadi.

Tonggak tengah berusia 23 tahun itu meneruskan sentuhan berbisa selepas turut menjaringkan dua gol ketika England menundukkan Mexico pada pusingan 16 terbaik, sekali gus muncul watak paling penting dalam kemaraan skuad kendalian Thomas Tuchel.

Norway yang mencipta sejarah mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama hampir melakar satu lagi kejutan apabila Andreas Schjelderup meletakkan mereka di depan dalam cuaca panas melebihi 30 darjah Celsius di Stadium Hard Rock.

Bagaimanapun, England tidak panik apabila Bellingham menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat hasil gerakan pantas bersama Anthony Gordon.

England hampir mendahului sebelum tamat babak pertama, namun jaringan Harry Kane dibatalkan kerana ofsaid.

Memasuki babak kedua, Tuchel membuat perubahan dengan memasukkan Bukayo Saka dan Eberechi Eze menggantikan Noni Madueke serta Declan Rice yang dilaporkan kurang sihat.

Namun, pertukaran itu menyaksikan England hilang penguasaan di bahagian tengah dan Norway mula mengasak.

Torbjorn Heggem sempat menewaskan Jordan Pickford, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan Erling Haaland menolak Elliott Anderson sebelum sepakan penjuru diambil.

Norway kemudian terus memberi tekanan, namun tandukan Kristoffer Ajer hanya menggegarkan palang ketika benteng England bergelut mengekang asakan lawan.

Perlawanan akhirnya diheret ke masa tambahan apabila kedua-dua pasukan mula keletihan selepas beraksi dalam keadaan suhu dan kelembapan tinggi.

Ketika aksi dilihat menuju penentuan sepakan penalti, penjaga gol Norway, Orjan Nyland melakukan kesilapan besar apabila gagal menangkap kemas rembatan Morgan Rogers.

Bellingham yang pantas membaca situasi tidak mensia-siakan peluang apabila menyambar bola muntah untuk meledak gol kemenangan dan gol keenam peribadinya dalam kejohanan.

England turut memperoleh sepakan penalti selepas itu, namun VAR sekali lagi campur tangan dan membatalkan keputusan pengadil kerana Djed Spence didapati terlebih dahulu melakukan sentuhan yang mencetuskan insiden berkenaan.

Bagi Norway, kekalahan itu turut menamatkan rentetan 14 perlawanan kompetitif berturut-turut Erling Haaland yang sentiasa menemui jaringan bersama negaranya.

Penyerang Manchester City itu akhirnya terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama masa tambahan selepas kehabisan tenaga.

Kemenangan itu menyaksikan England sekali lagi membuktikan kebangkitan mereka selepas sebelum ini menewaskan Republik Demokratik Congo dan Mexico meskipun beberapa persembahan mereka masih belum benar-benar meyakinkan.

Three Lions kini hanya selangkah lagi untuk kembali beraksi di pentas final Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun apabila bakal berdepan Argentina atau Switzerland bagi merebut tiket ke pentas akhir.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN