Teruja ikuti PLKN, kukuh jati diri - Utusan Malaysia

Teruja ikuti PLKN, kukuh jati diri

PARA pelatih yang datang dari seluruh negara mendaftarkan diri bersempena Program Latihan PLKN 3.0 di Kem 504 AW, Bukit Keteri, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Siti Nur Amira Fauzi, 17, salah seorang pelatih, begitu teruja untuk merasai sendiri pengalaman mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kem 504 Askar Wataniah (AW), Bukit Keteri di sini.

Perasaan gementar dengan keupayaan diri itu juga hilang setelah mendapat suntikan kata-kata semangat daripada keluarga yang datang menghantarnya dari Pulau Pinang.

Anak bongsu dari enam adik beradik itu berkata, dia sebelum ini, tidak pernah berjauhan dari keluarga namun telah mempersiapkan diri dari aspek mental dan emosi mengikuti PLKN.

“Saya memang takut kerana tidak pernah berjauhan dengan keluarga, tetapi saya kena yakin dan cuba menyesuaikan diri di sini.

“Saya berharap penyertaan saya dalam PLKN 3.0 ini dapat membentuk sikap yang lebih positif, meningkatkan disiplin dan mengukuhkan jati diri,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Perda itu ketika ditemui Utusan Malaysia selepas melaporkan diri sebagai pelatih PLKN 3.0 di sini semalam.

Bagi seorang pelatih berbangsa Cina, Chua Ru Yi, 17, pula berkata, dia tidak menyangka akan terpilih menyertai PLKN 3.0 memandangkan program itu masih baharu dilaksanakan kembali.

Namun dia sama sekali tidak keberatan untuk menyertai seterusnya merasai sendiri pengalaman mengikuti latihan di kem itu.

“Pada mulanya, saya amat gementar apabila mendapat tahu yang saya terpilih dan tidak dapat membayangkan apakah latihan yang bakal dijalankan. Walau bagaimanapun, setelah melihat video-video program yang pernah dilaksanakan sebelum melalui media sosial, perasaan gementar dan takut itu hilang,” katanya.

Seorang lagi pelatih, Nurul Fatihah Abdul Rahim,24, berkata, dia yang mempunyai asas latihan Askar Wataniah di Kem 501 AW Rejimen Tebrau, Johor Bahru, secara sukarela mendaftar untuk menjalani PLKN 3.0.

“Saya berminat dalam pasukan beruniform dan peluang untuk menyertai PLKN 3.0 ibarat bonus buat saya untuk memperkemaskan latihan yang pernah saya jalani dalam Askar Wataniah.

“Program ini amat saya nantikan dan saya bersedia serta tidak sabar untuk berlatih di bawah kendalian jurulatih yang berpengalaman,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN