LOS ANGELES: Wira kemenangan Sepanyol, Mikel Merino mengakui dirinya sukar mempercayai mampu menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir dalam dua aksi kalah mati berturut-turut di Piala Dunia 2026.
Pemain Arsenal itu muncul penyelamat apabila meledak gol pada minit ke-88 untuk memastikan Sepanyol menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir, kelmarin, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir menentang Perancis.
Sebelum itu, Merino turut muncul wira apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan ketika membantu Sepanyol menewaskan Portugal 1-0 di pusingan 16 terbaik.
“Saya tidak pernah membayangkan perkara seperti ini, walaupun dalam mimpi paling ngeri atau indah. Menjaringkan gol pada penghujung perlawanan amat sukar untuk dipercayai.
“Saya fikir saya perlu menunggu lama untuk mengulangi detik seperti itu, tetapi ia berlaku dalam perlawanan berikutnya,” katanya.
Gol kemenangan Merino hadir selepas penjaga gol gantian Belgium, Senne Lammens gagal mengawal kemas rembatan jarak jauh Pau Cubarsi sebelum bola muntah pantas disambar pemain berusia 29 tahun itu.
Merino menjelaskan kejayaannya bukan sekadar nasib, sebaliknya hasil kesediaannya untuk memberi impak setiap kali diturunkan.
“Saya sentiasa turun ke padang dengan semangat tinggi dan keyakinan bahawa saya mampu membantu pasukan di mana sahaja diperlukan. Itulah yang saya lakukan,” katanya.
Mengulas perjalanan Sepanyol ke separuh akhir, Merino mengakui kempen kali ini jauh lebih mencabar berbanding ketika mereka muncul juara Euro 2024.
“Hari ini kami benar-benar terpaksa bekerja keras. Setiap perlawanan semakin sukar, namun kami berjaya mengatasinya,” katanya.
Menanti Sepanyol di separuh akhir ialah Perancis, pasukan yang dianggap antara calon utama menjulang trofi Piala Dunia, namun Merino percaya La Roja memiliki kemampuan untuk sekali lagi mengecewakan lawan itu.
“Ia pasti menjadi pertarungan yang sengit kerana begitulah sifat perlawanan separuh akhir.
“Kedua-dua pasukan berada pada tahap terbaik. Kami akan turun dengan semangat tinggi dan memberikan segala-galanya untuk memastikan tempat ke final,” katanya. – AFP/UTUSAN










