KPJ Healthcare, Pine Labs jalin kerjasama - Utusan Malaysia

KPJ Healthcare, Pine Labs jalin kerjasama

MAJLIS menandatangani kerjasama antara KPJ Healthcare dan Pine Labs.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menjalin kerjasama dengan Pine Labs, platform omnichannel perdagangan terkemuka, bagi menawarkan pilihan pembayaran yang fleksibel untuk para pesakit di rangkaian hospital KPJ Healthcare.

Menerusi kerjasama tersebut, pembayaran untuk perkhidmatan perubatan KPJ Healthcare kini boleh dibuat melalui terminal jualan Pine Labs yang terletak di kaunter pembayaran hospital, melalui penggunaan debit atau kad kredit.

KPJ Healthcare berkata, platform Pine Labs menyediakan pilihan unik untuk menukar pembayaran kepada pelan ansuran sifar faedah melalui rangkaian luas 14 rakan kongsi perbankannya.

“Pelan ansuran tersebut boleh digunapakai bagi caj pembayaran melebihi RM500 untuk tempoh sehingga 24 bulan melalui kad debit atau kredit.

“Terminal Jualan (Point of Sale (PoS) Pine Labs juga membolehkan penukaran segera Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dan menerima pembayaran digital melalui platform E-Dompet yang terkemuka, termasuk Touch N’ Go, Grab Pay, Boost, WeChat Pay, Shopee Pay, dan Alipay,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas kerjasama itu, Pegawai Pimpinan merangkap Ketua Pegawai Kewangan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, kerjasama merupakan titik tanda penting memandangkan syarikat giat dalam usaha mengembangkan pilihan pembayaran kepada para pesakit.

Katanya, ia selaras dengan komitmen syarikat untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.

“Ini juga akan membolehkan pesakit kami merancang perbelanjaan kesihatan mereka dengan lebih baik dan membolehkan fleksibiliti dalam pembayaran untuk mereka terus mendapatkan penjagaan kesihatan berkualiti,” katanya.

Ketua Perniagaan Perdagangan APAC, Pine Labs, Sharad Gulhar pula berkata, jalinan kerjasama dengan institusi penjagaan kesihatan terkemuka seperti KPJ Healthcare membolehkan syarikat menyediakan transaksi pembayaran digital yang lancar, lebih pantas dan selamat kepada para pesakit dan ahli keluarga mereka.

“Kami percaya penjagaan kesihatan adalah satu segmen yang matang untuk perubahan baharu terutamanya melibatkan pilihan pembelian bayaran ansuran kerana penjagaan kesihatan mampu milik adalah kemudahan yang perlu disediakan kepada semua lapisan masyarakat dan ini adalah tumpuan utama kami di Pine Labs,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN