Bursa Malaysia susut kerana aktiviti pengambilan untung

Bursa Malaysia susut kerana aktiviti pengambilan untung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan semalam pada paras yang rendah berikutan aktiviti pengambilan untung oleh para pelabur terutama pengurus dana besar.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka pada paras 1,483.77, turun 2.77 mata daripada 1,486.54 Jumaat lalu, sebelum ditutup pada 1,476.96, menyaksikan penyusutan sebanyak 9.58 mata.

Suasana pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 564 berbanding 409, manakala 355 kaunter tidak berubah, 930 tidak diniagakan dan 67 lagi digantung.

Ringgit pula ditutup lebih rendah pada 4.5050/5110 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.4705/4805 yang direkodkan Jumaat lalu.

Mengulas prestasi tersebut, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penurunan itu membabitkan terutamanya produk dan perkhidmatan perindustrian serta kaunter telekomunikasi dan media.

“Setelah meningkat tinggi pada minggu lepas dengan pengumuman Perdana Menteri Ke-10, pasaran menyambut baik perubahan suasana politik Malaysia, sebelum itu telah berlaku jualan saham-saham mewah pada harga yang rendah tahun ini.

“Justeru, saham-saham tersebut yang berada pada harga yang murah menjadi sasaran para pengurus dana besar.

“Dengan pasaran memasuki fasa hujung tahun ketika pengemaskinian akaun para pengurus dana biasanya dilakukan, sekali gus menyumbang kepada prestasi pasaran saham Bursa Malaysia dan juga bursa-bursa lain di seluruh dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, penurunan Bursa Malaysia juga adalah selari dengan bursa-bursa utama dunia yang memulakan minggu ini dalam keadaan lesu.

“Pasaran modal dunia juga menantikan pengumuman Rizab Persekutuan AS sama ada akan menaikkan kadar faedah pada Disember ini yang diunjurkan pada 0.5 peratus,” ujarnya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota penyelidikan berkata, tempiasnya mungkin turut dirasakan oleh bursa tempatan kerana momentum belian dijangka bergerak perlahan dan pada masa yang sama tumpuan menjurus kepada musim pelaporan pendapatan yang berterusan.

“Sementara itu, pelabur akan memantau secara rapat pembentukan Kabinet dalam masa terdekat serta pembentangan semula Bajet 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN