BMW iX xDrive40 Sport – Kereta elektrik mewah, bergaya, terkini

BMW iX xDrive40 Sport – Kereta elektrik mewah, bergaya, terkini

BMW iX xDrive 40 diper­kenalkan dengan model “sports”.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BMW sekali lagi dilihat menerajui pengeluar-pengeluar kereta lain apabila tidak putus-putus memperkenalkan model-model terkini mereka dalam pasaran. Faktor yang menariknya adalah, negara kita juga menerima model-mode terbaharu ini tidak terlalu lama dari waktu pendedahan model-model mereka ini di pasaran antarabangsa.

BMW iX xDrive 40 diper­kenalkan dengan model “sports” yang sudah tentu didatangkan dengan tambahan ciri-ciri sistem elektronik. Sistem-sistem bantuan seperti pemanduan kawalan auto cruise yang lengkap dengan fungsi berhenti dan bergerak secara otomatik, pe­ngawalan stereng kereta dalam laluan, had laju boleh dikawal secara otomatik dan bantuan penghindaran terhadap hala­ngan objek turut tersenarai dalam keupayaannya.

Sebagai tambahan, sistem bantuan parkir tambahan, kamera pandangan sekeliling kereta dan sistem pengawasan tekanan udara dalam tayar turut berada dalam kawalan dan pengetahuan pemandunya dengan ha­nya sekilas pandang pada skrin.

PENAMPILAN

Selain warnanya, anda mung­kin tidak berupaya mengenali perbezaan antara versi sports dan standard. Begitupun, warna merah metalik menyala ini sudah tentu antara faktor terang-terangan tentang kelompok versi yang manakah ia tergolong serta tidak ketinggalan, harga pasaran yang diletakkan untuk versi sports ini adalah RM407,430, yang khabarnya RM65,200 lebih murah daripada versi terdahulu.

Tanda harga BMW ini lengkap dengan jaminan 2 tahun sebagai pakej standardnya, namun bakal pemilik boleh memilih untuk memanjangkan tempoh jaminan kepada 5 tahun tanpa sebarang had jarak pemanduan, dan jaminan servis selama 5 tahun dalam lingkungan jarak 120,000km, bolehlah menambah RM46,000 lagi dan menjadikan harga pasaran sebanyak RM425,800.

Kerajaan telah menetapkan mulai 2022, semua kenderaan elektrik tidak akan dikenakan cukai impot dan duti eksais yang dikatakan bakal menjadikan harga sesebuah kenderaan elektrik adalah mampu milik untuk rakyat Malaysia. Saya kurang pasti sama ada untuk turut bersetuju atau tidak dengan kenyataan ini, sekiranya melihat angka-angka pada tag harga itu.

Pada harga pasaran yang mendekati pada nilai setengah juta ringgit ini, ruang kabin di dalamnya amat menampilkan ciri-ciri yang futuristik serta eks­klusif. Saya jamin, perkara pertama yang menarik pandangan anda ialah sistem paparan skrin digitalnya yang seolah-olah satu skrin yang bersambung daripada ruang cockpit di mana lazimnya terletak kedudukan meter penunjuk kelajuan, sehinggalah ke ruangan tengah papan pemuka atau dashboard. Paparan grafiknya yang sangat tajam, berwarna-warni, mampu memberikan informasi yang anda inginkan, sama ada untuk sistem hiburan, mahu pun sistem-sistem keselamatan yang didatangkan bersama jentera elektrik mewah ini.

SUNROOF yang boleh diubah ketelusan cahayanya dengan hanya menekan suis.

Sunroof jenis panoramik adalah sesuatu yang tidak lagi baharu, tetapi, BMW ini mempunyai ‘tingkap bumbung’ yang tinted dan boleh dikawal ketelusan cahayanya secara manual dengan suis yang disediakan!!! Inilah sistem kawalan yang saya agak sedikit ‘jakun’ melihatnya kerana saya masih belum pernah menemuinya ketika peluang-peluang pandu uji kereta berjenama lain. Ia seperti sebuah cerita televisyen 80-an, ala-ala “Knight Rider” atau “Viper” yang membolehkan cermin keretanya boleh diubah kegelapan permukaannya.

Fungsi-fungsi elektronik yang lain yang terdapat di dalam kabin BMW ini ialah hampir serupa dengan model-model BMW baharu yang lain di pasaran, sama ada fungsi-fungsinya mahupun rupa bentuk rekaan.

PEMANDUAN

Ini adalah kali ke-3 saya berpeluang memandu kereta elektrik sepenuhnya. Begitupun, saya masih tidak dapat menolak tentang kejanggalan saya terhadap kereta ini yang bergerak tanpa bunyi enjin. Tiada langsung perasaan kereta ini sedang ‘tarik pickup’, atau henjutan enjin ketika proses pertukaran penurunan gear-gear rendah.

SKRIN sesentuh untuk hiburan dan juga informasi bersambung secara terus dengan skrin meter.

Tindak balas BMW ini ketika saya menekan pedal secara maksimum dengan drastik atau dengan secara tiba-tiba, ianya akan terus memberi respon hampir serta-merta. Tiada kelewatan respon atau “lag” atau kenaikan kuasa tujahan secara berperingkat.

Inilah kekuasaan jentera-jentera elektrik. Tiada proses pembakaran, tiada proses campuran udara dengan bahan api atau keperluan pergerakan piston dalam kebuk silinder untuk memberikan tekanan penghasilan kuasa. Ternyata, aliran elektrik yang diketahui bergerak jauh lebih pantas dan menggerakkan gear-gear motor yang dipasangkan kepada 2-2 gandar depan dan belakang. Ini membolehkan kenderaan elektrik ini bergerak dengan keempat-empat rodanya dan menghasilkan 326 PS dan 630 Nm. Bagaimana pun, walau pun mendapat informasi-informasi tersebut daripada pihak BMW sendiri, saya lebih memahami penjelasan angka yang sebegini: 0-100kmj dalam tempoh 6.1 saat dan mampu mencecah kelajuan 200kmj! Ini bermakna, bagi pencinta kelajuan anda tidak terpinggir dengan kehadiran teknologi jentera elektrik!

Penggunaan bateri lithium-ion 76.6 kWh yang diletakkan bawah lantai kereta dan mengikut BMW, ianya boleh mencapai jarak sejauh 425km dengan sekali caj. BMW jenis SUV ini boleh dicaj di soket-soket AC pada kadar maksima 11kW, dan mampu dicaj penuh dalam lingkungan 7 jam.

Namun, sekiranya anda berupaya untuk mengecasnya di soket-soket DC (fast chargers), proses ini hanya mengambil masa lebih kurang dalam 30 minit untuk mengecas bateri anda dari kadar 10% ke 80%, apa lagi sekiranya anda menghirup kopi `kayangan’ dan makan kek coklat di ‘kafe-kafe hipster’ di kompleks beli-belah yang moden dan terkini. Tempat-tempat seumpama ini ada menyediakan pusat-pusat pengecasan kereta elektrik dan bilangan tempat-tempat seperti ini semakin bertambah.

KESIMPULAN

Hari inilah sebenarnya masa depan. Ia bukan lagi satu cerita fiksyen sains atau fantasi. Secara realitinya, kerajaan kini turut memberikan rebat dan potongan cukai yang banyak untuk menggalakkan penghasilan dan penjualan kenderaan elektrik dalam pasaran tempatan.

REKAAN kerusi yang sporty serta empuk.

Namun, infrastrukturnya masih lagi di tahap yang rendah. Walaupun penjualan kereta elektrik sudah pun bermula di Malaysia sejak lebih sedekad, bermula dengan kenderaan hybrid (penggunaan elektrik dan bahan api konvensional – petrol/diesel), dan kenderaan-kenderaan 100% elektrik sudah mula diketengahkan sejak dua-tiga tahun kebelakangan ini, saya masih belum mempunyai informasi yang tepat dan menyeluruh tentang kos penjagaan jentera-jentera elektrik ini dalam jangka waktu yang panjang, serta proses dan kos bayaran pengecasan yang perlu ditanggung sekiranya kita mengecas di luar rumah atau pejabat, terutamanya di sepanjang perjalanan ke destinasi yang ingin dituju.

Infrastruktur yang ada di luar bandar masih lagi seperti dalam peringkat ‘tidak wujud’, dan yang paling utama, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam penyediaan infrastruktur ini?

Adakah syarikat-syarikat pengeluar kereta elektrik? Atau pemilik-pemilik syarikat konglomerat minyak & gas yang sudah tentu perlu mencari sumber pendapatannya apabila penggunaan kenderaan elektrik menjadi satu perkara normal? Atau mungkinkah, syarikat TNB mampu mewujudkan satu sistem atau pun mungkin anak syarikat untuk dapat merebut satu ‘peluang perniagaan’ yang besar ini dalam tempoh yang saya yakin hanya dalam satu generasi akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN