Traveloka sedia bekerjasama - Utusan Malaysia

Traveloka sedia bekerjasama

ANGELICA CHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PEMBUKAAN semula sempadan negara sejak April lalu secara tidak langsung telah merancakkan semula sektor pelancongan negara.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini telah menyasarkan ketibaan 9.2 juta pelancong antarabangsa dengan perolehan pendapatan sebanyak RM26.8 bilion hingga hujung tahun ini.

Bagi membantu meraih kehadiran pelancong tersebut, penyedia aplikasi pengembara dan gaya hidup, Traveloka yang mempunyai pejabat di enam buah negara di Asia Tenggara termasuk negara ini bersedia bekerjasama dengan kementerian bagi mencapai hasrat itu.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI bersama Pengarah Besar Traveloka Malaysia, ANGELICA CHAN yang berkongsi strategi serta corak pengembara di negara ini selepas pandemik Covid-19 serta prospek untuk tahun depan.

 

UTUSAN: Apakah pelan Traveloka untuk untuk suku seterusnya dan tahun depan dalam menerima kehadiran pelancong ke negara ini?

ANGELICA CHAN: Kami sentiasa menyokong MOTAC, jadi kami meneruskan kerjasama dengan kementerian dan juga rakan strategik hotel dan penerbangan serta pelanggan kami untuk menyokong semua sektor.

Oleh itu, kami akan cuba sedaya upaya untuk mengeluarkan kempen atau tawaran yang menarik untuk pelanggan kami. Kami melihat ada perkembangan positif dalam pengembaraan pelanggan terutamanya dalam domestik. Perjalanan antarabangsa juga menyaksikan peningkatan dan sudah lama kita tidak mengembara. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga telah mengumumkan tidak perlu dipakai di dalam bangunan, jadi itu dapat membantu menarik pengembara untuk ke sini.

 

Berapakah peningkatan pelancong antarabangsa ke Malaysia?

Kita menyaksikan trend peningkatan selepas pengumuman jangkaan kehadiran pelancong itu. Sebab itu kita dapat lihat peningkatan sasaran daripada 4.2 juta pelancong yang kita capai dan sekarang dinaikkan kepada 9.2 juta. Kita lihat peningkatan yg baik.

 

Apakah prospek pelancongan untuk tahun depan?

Untuk tahun depan, kalau lebih banyak negara yang melonggarkan prosedur operasi standard (SOP), maka ia akan menjadi lebih baik.

Walaupun Malaysia telah buka kepada semua negara, tetapi ada beberapa negara yang mana apabila mereka pulang, masih lagi terdapat beberapa aspek yang mereka perlu lakukan.

Jadi, itulah yang akan menjadi penghalang apabila mereka pulang ke negara mereka.

Melangkah ke hadapan, banyak negara yang akan melonggarkan SOP dan ia akan menjadi lebih baik kepada kita.

 

Apakah jenis tempahan yang biasanya dilakukan oleh pengembara di negara ini?

Tempah melibatkan pelbagai segmen dengan sebahagian besarnya adalah dalam penerbangan. Kebiasaannya, apabila pengguna membuat tempahan penerbangan, mereka mesti membuat tempahan hotel kerana aplikasi kami mempunyai semua perkhidmatan itu. 

Selepas itu, mereka turut membuat tempahan tarikan dan aktiviti. Kami dapat menyaksikan trend ini terutamanya selepas pandemik Covid-19. Corak tempahan pengguna telah berubah yang mana tempahan tarikan dan aktiviti akan dibuat selepas mereka membuat tempahan penerbangan dan hotel.

 

Adakah Traveloka mempunyai kerjasama dengan rakan strategik baharu?

Kerjasama terbaharu kami adalah dengan Chef Wan yang mana pengguna boleh menempah untuk makan di restoran miliknya iaitu De.Wan 1958 dan Café Chef Wan. 

Kami akan meneruskan kerjasama pelanggan dengan rakan strategik yang lain pada masa depan. Jadi, sesiapa yang berminat untuk bekerjasama dengan Traveloka, kami akan menjalinkan kerjasama dengan mereka. 

Namun, kerjasama kami bukan sahaja daripada segmen makanan dan minuman, ia boleh datang dari segi pakej pelancongan, tarikan dan aktiviti seperti taman tema baharu, hotel-hotel baharu dan sebagainya.

 

Berapa banyak rakan strategik yang berada di platform Traveloka ketika ini?

Untuk hotel, kami mempunyai kira-kira satu juta daripada kira-kira 100 negara, penerbangan (250), sewa kereta dan bas (750) serta tarikan dan aktiviti (25,000) di seluruh dunia.

Oleh itu, pelanggan kami dapat memilih pelbagai projek di pelbagai destinasi.

 

Bagaimanakah Traveloka melihat corak pengembara di Malaysia ketika ini dan di masa depan terumatanya selepas pandemik Covid-19?

Kami juga melihat banyak pengembara yang mencari tempat-tempat pelancongan yang mempunyai udara yang segar dan boleh melakukan aktiviti bersama keluarga.

Banyak memilih untuk pergi ke pantai dan ke dalam hutan. Itulah trend yang kami lihat.

Dari segi membuat keputusan pula, kami nampak banyak wanita yang membuat keputusan yang mana lebih daripada 50 peratus daripada pelanggan kami adalah wanita.

Pelanggan juga banyak membuat pembelian dan tempahan atas talian terutamanya selepas pandemik. 

Ini adalah lanjutan daripada corak pembelian atas talian semasa Covid yang mana ramai membuat pembelian platform atas talian dan kini dibawa kepada tempahan pelancongan.

 

Dengan inflasi dan peningkatan harga barang ketika ini, bagaimanakah untuk memastikan industri pelancongan terus berkembang?

Situasi inflasi ketika ini boleh dikatakan lebih kurang sama dengan kesan yang diterima semasa pandemik.

Kami akan terus berbincang dan bekerjasama dengan rakan strategik serta MOTAC untuk melihat jenis kempen dan aktiviti yang boleh ditawarkan untuk membantu mengurangkan impak inflasi.

Traveloka akan cuba sedaya upaya untuk membantu pemain industri dengan menyediakan beberapa jenis kupon dan jualan pada setiap bulan yang mungkin dapat membantu pengembara yang masih untuk melancong.

 

Sejak kebelakangan ini terdapat banyak perbincangan mengenai pemulihan pelancongan negara, apa pendapat anda tentang itu?

Pada asasnya, idea memikirkan semula pelancongan sedang berusaha ke arah pemulihan industri pelancongan yang terjejas teruk sejak dua tahun lepas dan untuk menghasilkan langkah-langkah tertentu untuk melindungi industri sekiranya krisis serupa berlaku lagi.

Bagi syarikat seperti Traveloka, di mana inovasi adalah penggerak DNA kami, kami tampil lebih kuat kerana ketangkasan kami dalam melaraskan model operasi semasa wabak. Kami sentiasa merebut peluang, berfikir lebih besar dan ke hadapan – mencipta semula perkara yang berguna dan bukannya hanya demi inovasi – menyelesaikan masalah bersama-sama.

Saya rasa industri pelancongan akan melihat lebih banyak produk dan pengalaman baharu serta improvisasi untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin menjadi sebahagian daripada komuniti global, terutamanya untuk perjalanan yang memberi impak positif kepada komuniti (perjalanan mampan) serta fleksibiliti.

Saya percaya bahawa komunikasi dan kerjasama adalah elemen utama dalam memikirkan semula pelancongan, menyokong pemain industri dan menyebarkan maklumat yang berkaitan kepada pengguna yang akhirnya akan membawa kepada ekonomi digital yang sihat.

Di Traveloka, kami akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pemulihan dan membentuk pengalaman perjalanan masa depan dengan kerjasama kerajaan serta rakan kongsi pelancongan kami dalam memastikan pilihan perjalanan yang selamat, sambil memberikan pengguna kami pilihan perjalanan yang diperibadikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya