PETALING JAYA: Liftech Group Berhad menyasarkan kutipan sebanyak RM23 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penawaran IPO tersebut ditetapkan pada harga 29 sen sesaham yang dijangka memberi permodalan pemasaran sebanyak RM91.3 juta selepas penyenaraian.
Pengarah Urusannya, Bernard Ng berkata, penyenaraian itu dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat serta memberikan fleksibiliti yang lebih baik untuk menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang.
Menurutnya, sebanyak RM13.8 juta daripada RM23 juta yang dijangka diraih akan digunakan bagi membayar balik pinjaman bank yang sebelum ini diambil untuk membiayai pemerolehan kemudahan operasi strategik di Bukit Minyak, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Fasiliti di Bukit Minyak dan Kota Kinabalu telah mengukuhkan kehadiran pasaran kami serta meningkatkan keupayaan untuk memenuhi keperluan pelanggan di wilayah pertumbuhan utama.
“Oleh itu, pembayaran balik pinjaman ini akan memperbaiki kedudukan kewangan syarikat dan menyokong rancangan pengembangan pada masa hadapan,” katanya.
Bernard berkata, sebanyak RM1.7 juta daripada hasil IPO akan diperuntukkan bagi pembelian mesin dan peralatan baharu untuk kilang Liftech di Taiping, Perak yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran serta tahap automasi dalam aktiviti pembuatan dan pengubahsuaian produk syarikat.
“Sebanyak RM1 juta akan digunakan untuk kerja naik taraf dan pengubahsuaian kemudahan serta ruang pejabat di kilang Taiping manakala RM2 juta pula diperuntukkan sebagai modal kerja, terutamanya bagi pembelian keluli, komponen dan aksesori yang digunakan dalam aktiviti pembuatan,” katanya.
Tambahnya, baki RM4.5 juta pula akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian. – UTUSAN










