Pendidikan kewangan perlu selari perubahan teknologi

Pendidikan kewangan perlu selari perubahan teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendidikan kewangan amat relevan dalam era pasca-pandemik dan perlu selari dengan perubahan pesat dalam masyarakat, teknologi dan ekonomi, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, ia harus diperluas untuk membantu golongan dalam sektor awam, industri kewangan, akademik dan perniagaan lebih memahami cara membantu pengguna membuat pilihan yang baik sekali gus mengelakkan pilihan yang buruk.

Jelasnya, ini bukan sahaja termasuk keputusan untuk membeli produk, tetapi juga dalam tindakan seharian mereka seperti dalam tabiat perbelanjaan dan menabung.

“Ia juga harus merangkumi pemahaman bagaimana kita boleh membantu pengguna mengelak daripada melakukan kesilapan, seperti terjerumus dalam penipuan pelaburan dan skim cepat kaya, tetapi juga penipuan yang menggunakan kejuruteraan sosial untuk menipu pelanggan supaya mendedahkan kata laluan keselamatan perbankan mereka.

“Penipuan telah mencapai momentum yang ketara sejak penularan wabak Covid-19 dan terus menjadi ancaman jahat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain sehingga BNM mengarahkan bank untuk meningkatkan langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Celik Kewangan Kebangsaan (NFLS) 2022 bertemakan ‘Memajukan Celik Kewangan Ke Arah Membina Semula Ketahanan Kewangan Pasca-Pandemik,’ semalam.

Beliau turut mencadangkan tiga bidang yang memerlukan penyelidikan untuk meningkatkan celik kewangan di masa akan datang.

“Pertama, faktor yang mempengaruhi celik kewangan dan keupayaan pengguna, termasuk elemen yang berkait dengan gelagat pengguna dalam pengurusan kewangan dan cara mereka memilih dan memutuskan produk dan perkhidmatan kewangan.

“Kedua, faktor yang mempengaruhi daya tahan kewangan pengguna termasuk kelemahan dan risiko yang muncul daripada perubahan dalam landskap kewangan, contohnya, pendigitalan produk dan perkhidmatan kewangan, atau kejutan ekonomi.

“Yang terakhir, jurang intervensi dan cara inovatif untuk merapatkan jurang. Penemuan daripada bidang penyelidikan ini boleh menambah nilai kepada cara kita membentuk dan membangunkan campur tangan berasaskan bukti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN