MummyRQ catat jualan RM100,000 sebulan - Utusan Malaysia

MummyRQ catat jualan RM100,000 sebulan

JAZNEEDA Mohamad Jamil menunjukkan produk makanan bayi keluaran MummyRQ yang beroperasi di Kedah Halal Park di Sungai Petani, Kedah. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPRIHATINAN seorang ibu untuk menyajikan makanan berkhasiat kepada bayinya menjadi pendorong anak kelahiran Kuala Ketil, Baling di Kedah membangunkan sebuah syarikat pengeluar makanan bayi organik yang berstatus halal.

Pemilik MummyRQ Sdn. Bhd., Jazneeda Mohamad Jamil, 34, yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus produksi di sebuah syarikat di ibu negara nekad melepaskan jawatan itu pada 2015 demi memberi tumpuan untuk menjaga dua anaknya yang masih kecil ketika itu.

Menurutnya, sebagai seorang ibu dia amat menitikberatkan aspek pemakanan anaknya dan berusaha mencari makanan bayi yang sesuai untuk mereka di pasaran.

Bagaimanapun, dia mendapati amat sukar untuk mendapatkan produk makanan bayi tempatan dan berstatus halal di pasaran menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memasak sendiri makanan bayi di rumah.

“Saya akan masak sendiri makanan bayi untuk anak saya iaitu bubur nasi daripada beras organik yang dipelbagaikan perisanya dengan menggunakan bahan makanan semula jadi seperti ikan bilis, ikan salmon, ayam, kurma dan sebagainya.

“Semua makanan yang dimasak tidak menggunakan gula, garam dan perasa tambahan serta sesuai untuk usia bayi enam bulan ke atas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kedah Halal Park, baru-baru ini.

Beliau berkata, dia turut berkongsi resipi-resipi makanan bayi yang dimasaknya sendiri di media sosial dan perkongsiannya itu mendapat maklum balas positif daripada kenalannya sehingga ada yang ingin menempah makanan tersebut untuk bayi mereka.

Katanya, ramai kenalannya terutama golongan ibu yang bekerjaya berminat untuk menempah makanan bayi tersebut sehingga timbul ilham untuknya mengusahakan perniagaan ini.

“Dengan hanya bermodalkan wang simpanan sebanyak RM25.90, saya membeli satu kilogram beras organik untuk memulakan perniagaan makanan bayi ini secara dalam talian. Hasil jualan saya dalam tempoh dua bulan pertama hampir mencecah RM10,000 dan permintaan juga semakin meningkat.

“Ketika itu, kami tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara dan terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran untuk meneruskan perniagaan ini memandangkan keadaan rumah dan ruang dapur yang sempit selain masalah lif yang kerap rosak.

“Kami terpaksa mengangkut puluhan kilogram beras naik ke rumah kami di tingkat 17 setiap kali lif rosak. Akhirnya, pada Disember 2015 saya dan suami ambil keputusan balik ke Kedah dan menyewa rumah di Bandar Puteri Jaya (BPJ) bagi memudahkan urusan perniagaan kami.

“Suami saya juga mengambil keputusan melepaskan kerjayanya sebagai seorang penulis skrip bagi membantu saya menjalankan perniagaan ini,” jelasnya.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, selepas setahun menjalankan perniagaan di rumah sewa tersebut, mereka akhirnya berupaya menyewa satu unit kilang di Kedah Halal Park pada Januari 2017.

Kini, mereka juga telah berjaya meningkatkan kapasiti operasi dengan tambahan dua unit kilang lagi, di sini pada Ogos lalu dengan bilangan pekerja seramai 17 orang. 

“Hasil pengeluaran kami kini adalah antara satu hingga 1.5 tan dengan hasil jualan mencecah RM100,000 sebulan. Kini terdapat 42 jenis produk makanan bayi di bawah jenama Groomy keluaran syarikat MummyRQ yang telah dipasarkan ke seluruh negara serta Sabah dan Sarawak.

“Produk itu juga bakal menembusi pasaran Brunei dan Myanmar dan kami juga sedang melakukan persiapan bagi memenuhi permintaan pasaran Amerika Syarikat, Eropah dan China dengan sasaran pengeluaran sebanyak lapan tan sebulan,” katanya.

Tambah Jazneeda, jenama Groomy merupakan produk makanan bayi tempatan yang pertama seumpamanya diiktiraf Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan MeSTI oleh Kementerian Kesihatan sejak empat tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya