TANJUNG MALIM: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang menerapkan elemen kenegaraan dan ketenteraan asas akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sekali gus memperkukuh agenda pembinaan jati diri belia negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kementeriannya terbuka dan bersedia melaksanakan peluasan program kerana ruang kerjasama turut melibatkan IPTS, institusi pengajian tinggi negeri (IPTN) serta universiti milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurut beliau, beberapa institusi seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah terlibat dalam pelaksanaan peringkat universiti awam, sebelum diperluaskan secara berperingkat kepada IPTS.
“Jadi mereka terlibat dan akan berikan ruang itu kepada IPTS katanya Majlis Peluncuran Program Latihan Khidmat Negara (PKLN) 3.0 Peringkat Universiti Awam di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi komitmen bagi memastikan pelaksanaan PLKN 3.0 berjalan lancar dan mencapai objektif ditetapkan.
Katanya, program itu juga akan diperluaskan ke peringkat politeknik dan kolej komuniti, selain IPTA yang menjadi fokus awal pelaksanaan.
“Kita juga akan melaksanakan di peringkat politeknik dan kolej komuniti, namun untuk peringkat ini kita berikan kepada IPTA terlebih dahulu,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan peluncuran buku, Nahas Gerik: UPSI Berduka sebagai inisiatif universiti mendokumentasikan pengalaman mangsa tragedi kemalangan bas pelajar UPSI di Gerik, Perak pada 9 Jun 2025.
Dalam kejadian itu, bas membawa 44 individu termasuk 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang kelindan terbabit dalam kemalangan.
Seramai 13 mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik. – UTUSAN










