IPOH: Pergerakan yang terbatas akibat kecederaan dalam kemalangan tidak mematahkan semangat seorang pengawal keselamatan untuk bangkit meneruskan kehidupan.
Bagi Omar Abdul Hamid, 55, peluang menjalani rehabilitasi menjadi sinar harapan untuknya apabila berjaya memulihkan keupayaan fizikal sekali gus membolehkan dia kembali bekerja demi menyara keluarga.
Bapa kepada empat anak itu merupakan orang berinsurans pertama yang menerima rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya, di sini.
Menurut Omar, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Mei 2025 yang mengakibatkan kecederaan pada anggota tangan sebelah kanan.
Katanya, ekoran keadaan fizikal yang masih belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan, dia hanya ditugaskan memantau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan.
“Lepas kemalangan memang tak boleh gerak. Siku kanan patah, kena pasang besi dan skru. Masa itu memang susah nak buat apa-apa.
“Alhamdulillah, selepas enam minggu rawatan rehabilitasi, sekarang tangan pun sudah boleh bergerak dan saya juga sudah kembali bekerja seperti biasa cuma untuk angkat beban berat, saya cuba elak,” katanya.
Menurutnya, selain menjalani rawatan di pusat berkenaan, dia turut meneruskan latihan yang diajar di rumah bagi mempercepatkan proses pemulihan.
“Saya ikut apa yang fisioterapi ajar, jangan angkat berat dan teruskan latihan di rumah. Itu sangat membantu,” katanya.
Sebagai pencarum Perkeso, dia bersyukur kerana berpeluang menerima rawatan di pusat berkenaan yang banyak membantunya kembali bekerja.
“Siapa yang mencarum memang beruntung kerana kemudahan yang disediakan sangat baik dan membantu pesakit untuk kembali berdikari,” katanya. – UTUSAN










