LOS ANGELES: Dua gergasi bola sepak dunia, Argentina dan Perancis akhirnya memulakan kempen Piala Dunia 2026 hari ini dengan tumpuan terarah kepada Lionel Messi dan Kylian Mbappe yang pernah mencetuskan final menakjubkan empat tahun lalu.
Argentina yang muncul juara dunia pada edisi 2022 selepas menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti dijadual membuka saingan Kumpulan J menentang Algeria di Kansas City.
Perhatian pastinya tertumpu kepada Messi yang bakal membuat penampilan keenam di Piala Dunia pada usia 38 tahun meskipun baru pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya bersama Inter Miami, bulan lalu.
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berkata kapten pasukannya itu berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk kembali memimpin cabaran La Albiceleste.
“Semua orang mahu melihat dia berada di atas padang, bukan hanya rakyat Argentina kerana impak yang dimilikinya terhadap orang ramai.
“Dia sentiasa penting buat kami dan kini peranannya lebih besar, selain kelihatan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Sementara itu, Perancis memulakan kempen Kumpulan I menentang Senegal dengan harapan mengelak episod hitam 2002 apabila mereka tewas kepada lawan sama sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan sebagai juara bertahan.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui kemenangan dalam perlawanan pertama amat penting, namun faktor emosi mampu memainkan peranan besar dalam kejohanan sebesar Piala Dunia.
“Perlawanan pertama sangat penting tetapi bukan penentu segala-galanya dan memulakan kempen dengan kemenangan sentiasa menjadi sasaran.
“Namun ada satu perkara yang tidak boleh diukur iaitu aspek emosi kerana ada pemain yang mungkin gugup dengan suasana mengelilingi perlawanan,” katanya.
Dalam satu lagi aksi menarik, penyerang sensasi Norway, Erling Haaland bakal membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia apabila mengetuai cabaran negaranya menentang Iraq selepas membantu Norway layak ke kejohanan itu buat kali pertama sejak 1998. – AGENSI










